PRN Melaka: Semua calon Bersama sudah isytihar harta

PRN Melaka: Semua calon Bersama sudah isytihar harta

PUCHONG – Semua calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu melengkapkan Akuan Berkanun (SD) bagi pengisytiharan harta sebelum menerima watikah masing-masing.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pengisytiharan harta itu adalah syarat wajib ditetapkan parti bagi setiap individu yang dipilih untuk mewakili Bersama pada PRN berkenaan.

Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai bukti komitmen berterusan parti dalam membanteras amalan rasuah dan politik wang.

“Walaupun hanya berusia empat bulan, calon Bersama sudah membuat pengisytiharan harta secara akuan berkanun dalam dua pilihan raya negeri.

“Secara langsung, ini menjadi tamparan kepada parti-parti lain yang lebih bertapak untuk menjelaskan kenapa mereka tidak komited untuk membuat pengisytiharan harta,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Rafizi menegaskan bahawa pengisytiharan harta merupakan kayu ukur komitmen setiap parti mencegah rasuah dan politik wang.

“Saya realistik bahawa kebuntuan politik terkini bermakna majoriti pengundi tidak memberi premium kepada disiplin pengisytiharan harta.

“Pun begitu, usaha membanteras politik wang dan rasuah tidak boleh ditunggang bagi tujuan laba politik semata-mata. Ia mesti dibuktikan dengan keberanian dan ketelusan untuk mengisytiharkan harta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengkritik beberapa parti politik lain yang tidak mengambil langkah sama dalam pengisytiharan harta calon.

Katanya, keengganan UMNO membuat pengisytiharan harta akan mengukuhkan pandangan rakyat mengenai imej parti itu yang sering dikaitkan dengan rasuah.

“Keengganan Pas membuat pengisytiharan harta mengesahkan bahawa parti itu tidak serius mengenai isu rasuah, demi fleksibiliti untuk bekerjasama dengan UMNO,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau turut mendakwa keengganan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membuat pengisytiharan harta mendedahkan hipokrasi mereka dalam membanteras rasuah.

“PH menyerang UMNO menggunakan isu rasuah. PH sendiri tidak mengambil langkah semudah membuat pengisytiharan harta untuk membina budaya antirasuah dalam parti masing-masing,” ujarnya.

Rafizi menegaskan, usaha membanteras politik wang dan rasuah tidak seharusnya digunakan bagi tujuan laba politik semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan melalui keberanian dan ketelusan.

Scroll to Top