PM dijangka beri penjelasan isu warga Myanmar dan keselamatan sekolah esok

PM dijangka beri penjelasan isu warga Myanmar dan keselamatan sekolah esok

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan memberi penjelasan mengenai isu warga Myanmar yang berada di negara ini serta kes ancaman keselamatan pelajar di sekolah dekat Dewan Rakyat, esok.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka menjawab kedua-dua isu dibangkitkan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), pada jam 10 pagi esok.

Menerusi soalan Suhaizan, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan penghantaran pulang dan status keberadaan warga Myanmar di negara ini, pada 29 September lalu.

Anwar juga akan memperincikan langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan bagi menangani isu keberadaan warga Myanmar, termasuk pelarian dan pemohon suka, terutama etnik Rohingya yang semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), Perdana Menteri juga dijadualkan memberi penjelasan kepada soalan Saifuddin berhubung kes mengancam keselamatan pelajar di sekolah.

Menerusi soalan berkenaan, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan mengenai punca kes sedemikian berulang biarpun garis panduan dan prosedur keselamatan sudah ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dijangka menyatakan status terkini berhubung pelaksanaan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk negara.

Beliau dijadualkan menjawab soalan diajukan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan, susulan beberapa insiden menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula dijangka memperjelaskan isu jerebu rentas sempadan yang diajukan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab.

Arthur dijangka memberi penjelasan mengenai langkah sudah diambil kerajaan bagi menghadapi isu jerebu, terutama yang melanda Sarawak, selain tindakan diplomatik atau undang-undang diambil bagi mengatasi masalah itu.

Pada sesi sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dijadualkan menjawab persoalan diajukan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, mengenai indikator keberkesanan rawatan kesihatan mental di fasiliti kerajaan serta mekanisme kementerian menilai keberhasilan rawatan dan kadar pesakit kembali mendapatkan rawatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top