am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jenazah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam nahas di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik semalam selamat dikebumikan pada 5.10 petang tadi.
Jenazah Al Zubair Deraman, 31, yang tiba di Masjid Al Fathul Mubin, Pengkalan Chepa 4 petang dari Hospital Taiping, Perak, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kem Pulau Panjang, di sini.
Kira-kira 150 saudara-mara serta penduduk kampung hadir pengebumian mangsa yang berasal dari Kampung Tok Sadang, Pengkalan Chepa.
Abang Al Zubair, Mohd Zaruda, 50, berkata, dia sempat melihat wajah adik bongsunya itu buat kali terakhir ketika tiba di masjid.
“Sebaik jenazah tiba, pihak masjid membuka kain kafan dan saya melihat wajahnya bersih tanpa sebarang kesan luka dan kelihatan tenang, Alhamdulillah.
“Semua 10 adik-beradik yang lain juga sempat pulang ke kampung halaman untuk menguruskan jenazahnya dan saya berterima kasih kerana semua urusan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Keluarga mereka juga akan mengadakan tahlil yang mungkin berlangsung tiga malam, katanya.
Dalam nahas tengah hari semalam, Al Zubair terkorban bersama tiga lagi mangsa iaitu Tuan Shazrin Tuan Mud, 40; Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, dan seorang kanak-kanak perempuan yang identitinya belum disahkan lagi.
Sementara itu seorang lagi kanak-kanak, Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, cedera dan dirawat di Hospital Taiping.
© New Straits Times Press (M) Bhd




