ENAM bulan awal 2026 menyaksikan pertumbuhan sokongan terhadap filem tempatan lebih baik berbanding tahun sebelum dengan deretan naskhah yang menembusi kutipan RM10 juta. Bagaimanapun, situasi ini tidak kekal lama apabila banyak naskhah yang dianggap penting menceritakan tentang sejarah, perjalanan atlet negara sehinggalah filem yang mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi tidak meraih kutipan tinggi.
Memuatkan artikel berkaitan…
Orang Perang yang membawa menceritakan keberanian masyarakat Orang Asli kaum Semai dalam mempertahankan tanah air ketika Tanah daripada ancaman komunis berhadapan detik sukar pada empat hari awal tayangan. Terbang dihasilkan dengan kualiti pembikinan taraf antarabangsa dengan bajet lebih RM10 juta perlahan mencapai angka kutipan dua juta memasuki awal Oktober manakala kutipan Semusim Lara perlahan, masih jauh menyentuh separuh juta.
Penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor berkata, penonton tidak wajar disalahkan sekiranya filem gagal mendapat sambutan di panggung. Katanya, jalan cerita sahaja tidak menjamin sesebuah filem laris sebaliknya bergantung juga kepada nilai komersial yang ditawarkan.
“Penonton tidak pernah salah. Mereka adalah pembeli. Hidangkanlah makanan yang sedap, makanan yang enak dengan packaging yang cantik maka pembeli akan datang. Begitu juga filem.
“Walaupun filem epik, tetapi adakah ia mempunyai nilai komersial yang tinggi? Adakah pelakonnya popular, pengarahnya siapa? Memang itulah dunia filem. Jangan kata filem epik saja, filem latar moden pun banyak yang tidak terjual.
“Satu tahun ada 52 minggu. Kalau setiap minggu ada satu filem Melayu, berapa sahaja yang benar-benar meletup? Jadi ini bukan soal genre, tetapi pemasaran dan kualiti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Rosyam berkata, pemasaran adalah kunci sebenar untuk melariskan filem walaupun pembikinan sesebuah filem termasuk dalam kategori cemerlang.
“Kadang-kadang ada filem yang bagus, tapi pemasarannya tidak. Mungkin juga filem itu tidak sampai kepada penonton sebab penerbit tiada peruntukan untuk buat pemasaran.
“Contohnya jika filem itu tentang sukan rali, ia bukanlah sesuatu yang diminati di Malaysia walaupun Karamjit Singh dianggap World Rally Number One. Pengarahnya ialah Chiu Keng Guan, sutradara sama buat Ola Bola, filem itu laku kerana sukan bola sepak dekat dengan penonton.
“Irfan Zaini pula bukanlah dianggap figura yang cukup popular cuma lakonannya kena dengan watak,” katanya.
Tambahnya lagi, Skim Wajib Tayang yang membolehkan sesuatu filem ditayangkan dua minggu di pawagam juga bergantung kepada sambutan penonton untuk empat hari awal tayangan.
Oleh itu, fasa awal tayangan filem dianggap perkara mustahak yang perlu difikirkan semua pembikin.
“Kalau kutipan hanyalah di bawah paras kutipan harian, panggung ada hak untuk keluarkan filem itu. Kalau dalam masa satu hari, filem itu berjaya kutip RM3,000 maka panggung tiada hak bawa filem itu keluar.
“Selain itu, ulasan awal filem juga penting. Zaman ini bukan lagi macam dahulu yang kena tunggu laporan daripada akhbar. Sekarang apabila buat malam gala sahaja, satu Malaysia sudah tahu ulasan, mereka sudah bagi ‘bintang’ masing-masing.
“Itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan orang mahu pergi atau tidak ke panggung,” katanya.
Terdahulu, timbul perbincangan hangat di media sosial apabila ada pihak mendakwa selera penonton menjadi punca mengapa beberapa filem yang dinilai sangat bagus dari segi kualiti dan jalan cerita gagal memperoleh kutipan panggung yang memberangsangkan.




