SEREMBAN: Kegagalan menyegerakan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dikhuatiri menjejaskan kelancaran pentadbiran Negeri Sembilan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, ketiadaan Exco menyebabkan Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) tidak dapat diadakan sejak tiga minggu lalu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelancaran urusan pentadbiran negeri.
“Sampai bila nak biarkan macam ini? Saya rasa sudah tiga minggu mesyuarat Exco tidak diadakan, sedangkan dalam mesyuarat itulah pelbagai perkara dibincangkan dan diputuskan.
“Tanpa Exco, banyak keputusan kerajaan negeri tidak dapat dilaksanakan dan ini pastinya memberi kesan besar sekiranya terus dibiarkan dalam tempoh lebih lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Menteri Besar masih menjalankan tugas seperti biasa namun tidak semua keputusan kerajaan negeri boleh dibuat secara bersendirian kerana sebahagiannya perlu diputuskan menerusi mesyuarat MMK.
Katanya, perkara itu termasuk urusan berkaitan kewangan, dasar dan polisi negeri.
“Kerajaan ada 25 ADUN. Lantiklah sesiapa pun mengikut titah Yang di-Pertuan Besar, asalkan pentadbiran negeri dapat terus berfungsi dan berjalan lancar,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, isu berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap proses penyediaan dan pembentangan Belanjawan 2027 yang perlu dilaksanakan sebelum akhir tahun.
“Bagaimana bajet hendak diluluskan dan dibawa ke DUN jika tiada mesyuarat Exco?
“Setiap Exco juga sudah tentu ada keperluan yang perlu dibentangkan untuk bajet tahun hadapan. Tapi tanpa Exco, siapa yang nak bentangkan? Siapa yang nak cadangkan?” soalnya.
Sementara itu, ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon turut menggesa Menteri Besar mengambil tindakan segera bagi memastikan barisan Exco dapat diwujudkan semula dan urusan pentadbiran negeri tidak terus terganggu.
Katanya, sekurang-kurangnya empat Exco perlu dilantik bagi mencukupkan kuorum MMK supaya pelbagai keputusan berkaitan pentadbiran dapat dibuat.
“Setiap minggu dalam mesyuarat Exco kami akan meluluskan banyak permohonan terutama kebenaran pindah milik, penyatuan status pajakan kepada pegangan bebas dan paling penting ialah bayaran premium tanah.
“Tapi sekarang tiada apa-apa keputusan dapat dibuat kerana tiada mesyuarat Exco. Jadi ia secara tidak langsung akan menjejaskan hasil negeri,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang sekiranya situasi berkenaan tidak diselesaikan segera.
Menurutnya, persidangan DUN bukan sekadar berkaitan kepentingan mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan mekanisme penting untuk memastikan kerajaan terus bertanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, DUN menjadi ruang bagi wakil rakyat membawa suara rakyat, menyoal kerajaan, membahaskan dasar serta meneliti penggunaan wang awam.
“Jadi, buatlah sesuatu dan jangan tunggu lama kerana keadaan ini akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan negeri dan Negeri Sembilan,” katanya.
Nicole berkata, Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan tempoh enam bulan tidak boleh dibiarkan berlalu antara persidangan terakhir satu sesi dengan tarikh yang ditetapkan bagi persidangan pertama sesi berikutnya.
Justeru, katanya, Kerajaan Negeri perlu segera menetapkan tarikh persidangan dan memastikan DUN terus berfungsi mengikut peruntukan perlembagaan negeri.
“Rakyat berhak mendapat kepastian, bukan tertanya-tanya bila DUN akan bersidang dan bagaimana urusan negeri akan diteruskan.
“Rakyat mengundi untuk memilih wakil, bukan menyerahkan cek kosong. Justeru, saya ingin menggesa agar segera melantik Exco yang baharu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka. – UTUSAN




