surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menangguhkan pendengaran permohonan semakan kehakiman bapa mendiang Altantuya Shaariibuu berhubung siasatan polis terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri kepada 12 Januari depan.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev berkata, penangguhan itu dibuat susulan permohonan responden untuk mendapatkan kebenaran memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit yang dikemukakan pihaknya hari ini.
Dalam permohonan itu, Shaariibuu selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Sangeet berkata, dalam hujahan bertulis, responden antara lain mengambil pendirian bahawa pemohon tidak pernah memberikan maklumat mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Oleh itu tiada kewajipan bagi pihak mereka memaklumkan status siasatan kepada pemohon.
“Sebagai jawapan, kami mengemukakan kepada mahkamah laporan polis yang dibuat pemohon pada 2018, yang secara khusus memohon supaya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
“Responden memohon peluang untuk memberi maklum balas terhadap kandungan afidavit itu. Oleh itu, mahkamah menangguhkan pendengaran ke 12 Januari 2027 bagi membolehkan responden memfailkan afidavit jawapan,” katanya kepada media hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini sepatutnya mendengar permohonan semakan kehakiman keluarga mendiang Altantuya supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah Azilah yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.
Pada 16 Oktober 2025, Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas dimaklumkan bahawa Peguam Negara tidak membantah permohonan berkenaan.
Dalam permohonan itu, Shaariibuu memohon deklarasi bahawa keputusan responden yang gagal memaklumkan status terkini siasatan yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah yang diikrarkan Azilah adalah bercanggah dengan undang-undang.
Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan Azilah bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.
Kedua-dua dokumen itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa beliau menerima arahan daripada “pihak atasan” untuk menjalankan `operasi sulit’ bagi `membunuh dan menghapuskan si mati.’
Shaariibuu selaku pemohon berkata, sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan berkenaan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.
Beliau turut memohon perintah mandamus supaya semua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap kandungan kedua-dua dokumen itu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.
Selain itu, Shaariibuu berkata sekiranya responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), alasan bagi keputusan itu perlu diberikan.
Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan penjara 40 tahun serta 12 sebatan selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan bekas pegawai polis itu bagi kesalahan membunuh Altantuya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




