3 individu termasuk pegawai kanan agensi kerajaan direman SPRM

3 individu termasuk pegawai kanan agensi kerajaan direman SPRM

hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah tahan tiga individu termasuk pegawai kanan sebuah agensi kerajaan selepas disyaki terbabit kes rasuah berjumlah kira-kira RM155,000 antara 2024 dan tahun lalu.

Majistret Eliana Ismail mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 10 Oktober ini terhadap semua suspek selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, hari ini.

Individu berkenaan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an.

Mereka ditahan pada 5 petang dan 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Selain pegawai kanan itu, dua lagi adalah penjawat awam dan pemilik syarikat pembekalan pakaian.

Mereka disyaki terbabit dalam urusan pembekalan baju sukan selepas rasuah diberi dan diterima sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan berkenaan.

Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2024 hingga 2025.

Dua suspek penjawat awam dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top