Pemuda PAS Perak menggesa seorang Pegawai Khas Menteri Besar Perak direhatkan sementara siasatan dijalankan susulan dakwaan menyampaikan ucapan di sebuah masjid dalam daerah Kerian.
Mahu tindakan tegas
Facebook, Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menyatakan, tindakan itu menimbulkan persoalan berhubung pematuhan terhadap titah Sultan Perak berkaitan larangan ahli politik menyampaikan ucapan di masjid dan surau.
Menurutnya, perkara tersebut dipandang serius kerana larangan berkenaan turut dilaksanakan menerusi pekeliling rasmi yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Saya mohon satu tindakan tegas diambil kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak yang terlibat dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
“Ini termasuklah merehatkan sementara dan menarik semula pelantikan jawatan, sekiranya siasatan mendapati beliau bersalah melanggar larangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dakwa pemimpin parti politik berucap dalam masjid
Menerusi perkongsian video di media sosial, individu terbabit yang dikatakan pemimpin parti politik dilihat menyampaikan ucapan rasmi dalam sebuah program melibatkan murid-murid pendidikan khas yang dianjurkan di pekarangan luar masjid.
Mengulas lanjut, Nurhafizul berkata, tindakan berucap di masjid boleh mencalarkan imej Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sebelum ini dilihat tegas dalam mematuhi larangan berkenaan.
Ujarnya, Saarani sebelum ini turut mengambil pendirian untuk tidak menyampaikan ucapan di masjid dan surau sebagai tanda menghormati titah Sultan Perak.
“Perkara ini juga melibatkan soal menghormati titah Tuanku Sultan yang sepatutnya dipatuhi oleh seluruh rakyat Perak,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, JAIPk menerusi satu pekeliling bertarikh 26 Oktober 2022 melarang sebarang aktiviti berbaur politik di masjid, Surau Diri Jumaat dan surau di negeri ini.
Pekeliling itu dikeluarkan susulan titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Peringkat Negeri Perak pada 24 Oktober 2019.
Menurut pekeliling tersebut, larangan berkenaan bertujuan menjaga kemuliaan institusi masjid daripada sebarang unsur kepentingan politik.
Sumber: Facebook Nurhafizul Badrul Hisham





