Pelajar maut di tangan teman lelaki, JPPKK serah siasatan kepada polis

Pelajar maut di tangan teman lelaki, JPPKK serah siasatan kepada polis

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS, M Elisa Jonova, 19, yang ditemukan tidak sedarkan diri pada pagi Selasa.

Menurut laporan Sinar Harian, mendiang yang mengikuti Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan itu dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan.

Foto: Media sosial

JPPKK menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya bersama POLISAS bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

“JPPKK dan Polisas akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu proses siasatan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Foto: Media sosial

Sebelum ini, media melaporkan kejadian dipercayai berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa dengan teman lelakinya pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada teman lelaki mangsa kira-kira jam 4.32 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Foto: Media sosial

Dalam perkembangan sama, JPPKK dan POLISAS menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian tersebut.

Kedua-dua institusi berkenaan turut memberi jaminan untuk terus menyalurkan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang sepanjang tempoh sukar itu.

Sumber: Sinar Harian (Norawazni Yusof)

Scroll to Top