am@hmetro.com.my
Ipoh: Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) segera menyiasat dakwaan tular berkaitan kewujudan sekolah untuk etnik Rohingya di bangunan terbiar di sekitar Jalan Lahat, di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan boleh diambil oleh MBI, sekiranya premis terbabit dibuka tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Katanya, selain itu, tindakan sewajarnya boleh diambil agensi berkaitan lain, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Jika mana-mana entiti membuka sekolah termasuk sekolah swasta, pertama ia kena ada lesen daripada KPM. Kedua, untuk membolehkan ia mendapat lesen, kena terlebih dahulu membuktikan ia mendapat kebenaran penggunaan premis.
“Yang ketiga, kena ada kebenaran bertulis daripada MBI yang membolehkan perniagaan atau aktiviti itu dijalankan di premis berkenaan. Kalau ia beroperasi tanpa kebenaran, bermakna ia tidak sah, lalu membolehkan MBI boleh mengambil tindakan.
“Jadi, kalau betul ada laporan itu, MBI tak payah kena tunggu arahan, mereka boleh pergi turun tengok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Inovasi Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan
EXCO Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.
Terdahulu, tular video di TikTok yang berdurasi lima minit 24 saat memaparkan tindakan seorang individu menerjah ke kawasan sekolah yang dikatakan khusus bagi etnik Rohingya di sekitar Ipoh.
Berdasarkan video itu, sekolah berkenaan dikatakan dibina sejak lima tahun lalu, di kawasan bangunan tinggal yang sedang dalam proses untuk dijual. Ia berdasarkan iklan kain rentang yang digantung di bangunan terbabit.
Video sama turut mendakwa terdapat beberapa perniagaan diusahakan oleh etnik Rohingya di kawasan yang disifatkan agar tersorok itu termasuk membabitkan premis gunting rambut,
Selain itu, video berkenaan juga turut menunjukkan persekitaran perkarangan asrama menempatkan komuniti Rohingya di Jelapang, di sini, yang dicemari sampah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




