PRN Melaka: BN pertahan 21 kerusi, terbuka dengan `cross-swap' bersama rakan strategik

PRN Melaka: BN pertahan 21 kerusi, terbuka dengan `cross-swap' bersama rakan strategik

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Jumlah 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menjadi ‘garis merah’ Barisan Nasional (BN) Melaka, dalam rundingan pembahagian kerusi dengan parti yang bakal menjadi rakan strategiknya pada pilihan raya kali ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, parti itu bersedia membuka ruang rundingan bagi pertukaran kerusi atau `cross-swap’ dengan rakan sefahaman politik pada PRN berkenaan, namun jumlah 21 kerusi yang dimenangi BN pada 2021 itu tetap perlu dipertahankan.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menjadi garis sempadan rundingan yang perlu dipatuhi parti atau gabungan yang berminat untuk bekerjasama dengan BN.

“Itu (21 kerusi) adalah satu garis sempadan yang sudah saya suarakan, maka kita sedang berunding untuk mempertahankannya. Ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil `cross-swap’ (dengan rakan sefahaman) tapi tetap (pertahankan) 21 kerusi yang dimenangi,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, rundingan berkenaan bertujuan membentuk satu pasukan lebih kuat dengan menilai sumbangan setiap parti yang mahu bekerjasama dengan BN.

“Setakat hari ini memang kita lihat dalam media sosial ramai yang menyuarakan untuk bergabung dengan kita dan kita akan aturkan perundingan ini secara berperingkat-peringkat, dan insya-Allah kita akan umumkan sebelum hari penamaan calon siapakah rakan strategik kita yang terbaik untuk kita menjalankan urusan pilihan raya ini nanti,” katanya.

Ab Rauf berkata, keputusan mengenai rakan strategik itu bukan terletak pada beliau sahaja, sebaliknya akan dikemukakan kepada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mendapatkan mandat.

Sementara itu, beliau berkata, senarai calon untuk mewakili BN pada PRN ini sudah diterima daripada semua Ketua UMNO Bahagian semalam.

Katanya, pihak pengurusan parti akan melakukan kajian, analisis serta tapisan sebelum pemilihan dibuat.

“Nama semua dah diserahkan kepada saya, cuma belum lagi dibuat kajian dan analisis pada semua sudut untuk saya membuat penilaian calon yang berkenaan. Pasti ia menjadi igauan dan impian kepada mereka yang tersenarai sebagai calon,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top