Gempar jumpa ular berkepala dua

Gempar jumpa ular berkepala dua

New Delhi: Seekor ular berkepala dua yang jarang ditemui berjaya diselamatkan di Gujarat, India, selepas ditemui penduduk di kampung Agaswani.

Memetik NDTV, reptilia luar biasa itu ditemui di kawasan hutan Dhanpur dan dikenal pasti sebagai ular serigala yang tidak berbisa serta secara umumnya tidak berbahaya kepada manusia.

Penduduk kemudian memaklumkan penemuan itu kepada kumpulan pencinta alam sebelum ular berkenaan dibawa ke Dahod untuk pemerhatian dan penjagaan.

Ular sepanjang kira-kira 15 sentimeter (cm) itu mempunyai dua kepala yang bersambung pada satu badan dengan setiap kepala mempunyai sepasang mata sendiri.

Keadaan itu dikenali sebagai ‘bicephaly’, iaitu kelainan perkembangan apabila seekor haiwan mempunyai dua kepala pada satu badan ketika perkembangan embrio.

Menurut penyelamat hidupan liar, penemuan itu dipercayai kali pertama ular berkepala dua berjaya diselamatkan di Gujarat.

Kumpulan itu turut berkata, hanya segelintir kes sama direkodkan di India, termasuk dua ekor ular tedung dan tiga ekor ular serigala.

Reptilia berkenaan dianggarkan berusia kira-kira setahun dan kini dipantau bagi memastikan keselamatan serta keadaannya.

Haiwan berkepala dua boleh berdepan beberapa cabaran di habitat liar kerana kedua-dua kepala mungkin bertindak secara berasingan terhadap makanan, pergerakan atau bahaya.

Keadaan itu menyebabkan tindakan kedua-dua kepala kadangkala bercanggah, sekali gus menyukarkan proses mendapatkan makanan, bergerak dan melarikan diri daripada pemangsa.

Bicephaly pernah direkodkan dalam kalangan ular dan reptilia lain, namun kes seperti itu amat jarang berlaku.

Keadaan berkenaan boleh menjejaskan peluang haiwan untuk hidup di habitat liar, namun peluang kelangsungan hidup sebenar bergantung kepada haiwan berkenaan dan tahap keterukan kelainan perkembangannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top