zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman berhubung pegawai perubatan lantikan kontrak pada Belanjawan 2027 esok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak kembali menerajui KKM, cita-cita beliau sejak awal adalah untuk menamatkan perkhidmatan kontrak berkenaan.
“Ini sudah pun dipertimbangkan, mungkin kita perlu sedikit sabar menanti pengumuman yang bakal dibuat.
“Kita mengangkat pelbagai permohonan dan ada harapannya pada pembentangan belanjawan nanti,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) sama ada KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan melihat kemungkinan untuk menamatkan perkhidmatan lantikan kontrak, selain mempertimbang untuk meringankan tahap kelayakan bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak yang memohon jawatan pegawai perubatan.
Dr Dzulkefly berkata, KKM memberi keutamaan kepada penuntut universiti di Sabah dan Sarawak, namun sebarang syarat bagi permohonan jawatan adalah tertakluk kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Kita semua mahu memastikan jurang dan kelompangan ini akan dapat kita atasi dalam waktu terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly memaklumkan KKM menyasarkan untuk menamatkan isu lantikan pegawai perubatan secara kontrak menjelang 2028 dengan menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menamatkan latihan siswazah.
Sasaran itu adalah hasil pendekatan seluruh kerajaan menerusi pasukan petugas bersama antara kementerian yang ditubuhkan bagi menangani isu sumber manusia dalam sektor kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




