'Hati saya hancur' – Ibu Zara Qairina luah detik terima panggilan anak tidak sedarkan diri di asrama

'Hati saya hancur' – Ibu Zara Qairina luah detik terima panggilan anak tidak sedarkan diri di asrama

news@nst.com.my

Kota Kinabalu: Panggilan telefon pada 4.37 pagi menjadi detik hitam yang meragut ketenangan seorang ibu apabila dimaklumkan anak perempuannya, Zara Qairina Mahathir ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai asrama.

Perkara itu didedahkan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat di Mahkamah Koroner, di sini, bahawa dia berada dalam keadaan panik, sedih dan menangis selepas menerima panggilan daripada Ustaz Rezany pada 16 Julai 2025, memandangkan dia sukar ‘mencerna’ apa yang sebenarnya berlaku selain buntu bagaimana untuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Saya menunggu sehingga hari siang. Selepas itu, saya mengumpulkan kekuatan untuk memandu sendirian ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) tanpa ditemani sesiapa dalam keadaan hujan ketika itu,” katanya.

Noraidah berkata, dia berada di rumah pada malam 15 Julai hingga awal pagi 16 Julai, manakala Zara Qairina berada di asrama berkenaan.

Dia tiba di hospital pada 9 pagi dan individu pertama yang ditemui di luar Jabatan Kecemasan ialah warden asrama dikenali sebagai Norasimah.

Noraidah menceritakan, sejurus pertama kali melihat keadaan Zara Qairina di Zon Merah Jabatan Kecemasan HQE, anaknya itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan darah yang banyak di kepala serta kaki.

“Saya sangat hancur hati. Pada saat itu, saya merasakan seolah-olah dunia saya menjadi gelap-gelita dan tidak tahu apa yang mahu diperkatakan.

“Saya bersendirian di luar jabatan kecemasan itu tanpa ditemani mana-mana ahli keluarga. Saya terus menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Mahathir mengenai keadaan Zara (Qairina),” katanya ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri.

Noraidah berkata, doktor atau kakitangan hospital ada memberikan penjelasan mengenai keadaan Zara Qairina, namun dia tidak dapat memahami atau mendengarnya dengan jelas akibat terlalu panik.

Katanya, seorang kaunselor daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kemudiannya cuba menenangkannya serta menerangkan semula keadaan kesihatan anaknya itu.

Mengulas lanjut, Noraidah berkata, antara perkara yang disaksikan serta dimaklumkan kepadanya mengenai rawatan terhadapnya anaknya.

Menurutnya, Zara Qairina diberikan ubat penenang (sedated) dan bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan (ventilator).

Dia turut dimaklumkan bahawa otak anaknya terputus bekalan oksigen selama lebih dua jam sehingga mengalami kerosakan parah.

Noraidah berkata, sepanjang Zara Qairina dirawat, beberapa individu hadir melawat dan bercakap dengannya termasuk pengetua sekolah, ketua warden bersama isteri, warden-warden asrama, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Papar, pegawai JPN, ustaz dari Pejabat Pendidikan Daerah Papar serta Ustazah Siti Khadijah Ahmad dari sekolah Zara.

“Seingat saya, antara perkara yang dimaklumkan kepada saya adalah Zara Qairina terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, semua pelajar sudah tidur pada 11 malam dan tiada saksi kejadian yang melihat insiden berkenaan,” katanya.

Noraidah berkata, anaknya disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari 17 Julai 2025.

Menurutnya, sepanjang berada di hospital, tiada mana-mana kakitangan perubatan mahupun pihak polis yang menjelaskan secara terperinci kepadanya mengenai tujuan proses bedah siasat (post-mortem) dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top