Kuala Lumpur : Jenama tempatan, ANAS Cosmetics terus mengukuhkan penguasaannya dalam pasaran e-dagang apabila kekal berada di tangga nombor satu TikTok Shop Malaysia dengan catatan jualan luar biasa mencecah hampir 12 juta unit.
Pencapaian menerusi laporan analisis data platform Echotik Blog itu menyaksikan jenama diusahakan usahawan dan pempengaruh popular, Anas Zahrin sejak 2017 itu menewaskan pesaing jenama tempatan lain.
Anas Zahrin, 38, berkata kejayaan itu membuktikan produk kosmetik dan penjagaan peribadi buatan tempatan berupaya meraih kepercayaan peminat serta bersaing rapat dengan jenama antarabangsa.
“Setiap hari saya tidak pernah putus doa mengharapkan perniagaan ini terus memberi manfaat.
Mencecah jualan hampir 12 juta unit dan kekal di tangga pertama TikTok Shop bukan tiket untuk mendabik dada, sebaliknya menjadi kayu pengukur keupayaan produk Bumiputera.
“Baru-baru ini saya juga teruja apabila mencapai jualan RM1 juta dalam tempoh sekali sesi penstriman langsung. Dulu tiada siapa percaya dan ada yang memandang rendah apabila saya memilih TikTok untuk berniaga,” katanya ketika ditemui sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah di Makkah, hari ini.
Terdahulu, jenama berkenaan turut merangkul tiga pengiktirafan utama di TikTok Shop 2026 iaitu Top 1 Pencipta Kandungan, Top 1 Penjual Tempatan, dan Top 3 Penjual bagi kategori Kesihatan dan Penjagaan Peribadi di Malaysia.
Pemenang Anugerah TikTok Malaysia 2023 itu menegaskan, kejayaannya bertahan hampir sedekad adalah berkat doa tidak putus-putus daripada ibu tersayang, Hajjah Hamida Dan, serta komitmen berterusan pasukan kerja dan sokongan pelanggan.
Dalam pada itu, ekosistem perniagaan digital Anas terus diiktiraf apabila beliau dilantik oleh pihak TikTok sebagai mentor bagi program TikTok Shop Creator Icon musim kedua bersama ikon perniagaan tempatan, Khairul Aming.
Pencapaian ANAS Cosmetics turut memberi isyarat positif kepada kebangkitan jenama tempatan, khususnya ketika momentum rakyat Malaysia yang kini semakin giat menyokong dan mementingkan produk keluaran anak bangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




