PORCELAIN Inn Sdn Bhd (PISB), rangkaian peruncitan yang mengkhusus dalam kelengkapan perkahwinan Melayu dan hiasan rumah, membuka cawangan terbesarnya di Lembah Klang iaitu di GM Klang Wholesale City, di sini pada Khamis.
Pembukaan cawangan seluas lebih 20,000 kaki persegi itu turut menyaksikan PISB menerima pengiktirafan rasmi Malaysia Book of Records (MBOR) bagi rekod “Largest Variety of Malay Wedding Products by a Wedding Supplier”.
Cawangan berkenaan terletak di Tingkat 5, Blok B, GM Klang Wholesale City dan menjadi cawangan terbesar PISB di Lembah Klang dan diadakan bersempena ulang tahun ke-35 PISB yang ditubuhkan pada 1991.
Pengiktirafan MBOR berkenaan diberikan berdasarkan jumlah Unit Simpanan Stok (SKU) unik dalam inventori gabungan 17 cawangan PISB yang sudah disahkan.
Rekod berkenaan merujuk kepada kepelbagaian produk perkahwinan Melayu yang ditawarkan dan bukan jumlah unit fizikal dalam stok.

Pegawai Operasi MBOR, Jwan Heah (kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan MBOR kepada Shu Xin. Foto: Asril Aswandi Syukor
Pengurus Besar PISB, Goh Shu Xin berkata, konsep “Largest Variety” yang diraih itu membawa maksud pilihan kepada pelanggan kerana setiap perkahwinan mempunyai keperluan, cita rasa dan bajet berbeza.
“Apabila rakyat Malaysia memikirkan kelengkapan perkahwinan Melayu, kami mahu mereka mengingati satu jenama: PISB,” katanya.
Menurutnya, PISB terus membuat pelaburan strategik dalam premis fizikal berskala besar walaupun persaingan e-dagang semakin sengit.
Menurutnya, persiapan perkahwinan lazimnya membabitkan perbincangan keluarga, justeru ruang fizikal yang luas membolehkan pelanggan melihat warna, menyentuh bahan serta membuat perbandingan padanan secara terus.
PISB turut menawarkan 100 peratus stok sedia ada bagi semua produk tanpa pelanggan perlu membuat tempahan pengeluaran terlebih dahulu.
Syarikat itu juga mempunyai pasukan reka bentuk sendiri yang menghasilkan produk bercirikan tempatan mengikut trend semasa, berbekalkan pengalaman selama 35 tahun.
Selain itu, PISB menawarkan pakej dan tawaran mengikut kuantiti menerusi pembelian pukal bagi membantu pasangan pengantin menguruskan bajet dengan lebih cekap.
Pemilihan GM Klang sebagai lokasi cawangan terbesar itu pula menyokong transformasi pusat berkenaan daripada pusat pemborongan B2B tradisional kepada model perniagaan B2B2C yang merangkumi gaya hidup, pelancongan dan komuniti.
Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, pihaknya mahu mengukuhkan peranan GM Klang bukan sekadar sebagai tempat berniaga, tetapi platform yang membantu perniagaan membina jenama, berkembang dan mencapai pasaran lebih luas.
“Apabila penyewa dan pengusaha kami berkembang, GM Klang turut berkembang bersama mereka,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengarah Urusan PISB, Goh Tian Soo, pengasas MK Curtain, Datuk Wira Dr Calvin Khiu; Ketua Pegawai Operasi MBOR, Jwan Heah; serta Pegawai MBOR, Siti Hajar Johor.
PISB ditubuhkan pada 1991 di Ayer Hitam, Johor, dan kini mempunyai 17 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Johor, Melaka dan Kelantan, selain platform e-dagang.
Syarikat itu menawarkan pelbagai kelengkapan perkahwinan Melayu dan hiasan rumah, termasuk cenderahati tetamu, bunga telur, pembungkusan hadiah, bunga tiruan, pasu dan pokok hiasan.
Sementara itu, GM Klang Wholesale City ialah pusat beli-belah borong terbesar di Malaysia dan duta pelancongan bagi bandar Klang.
Selain menyediakan ruang perniagaan B2B dan B2C, GM Klang berfungsi sebagai platform pertumbuhan perniagaan yang menghubungkan pengusaha dengan pengguna, pembeli perniagaan dan komuniti menerusi pelbagai inisiatif strategik.



