Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan perjanjian penyelesaian cukai berjumlah RM4.8 juta yang didakwanya telah dijelaskan sepenuhnya.
Foto: Utusan Malaysia
Abdul Azeez, 60, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling, memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) yang membatalkan perjanjian berkenaan secara sepihak.
Permohonan yang difailkan pada 6 September lalu itu membabitkan perjanjian penyelesaian bertarikh 9 Februari 2022 bagi taksiran cukai sepanjang Tahun Taksiran 2011 hingga 2020.
Menerusi tindakan tersebut, Abdul Azeez menamakan KPHDN sebagai responden tunggal dan memohon supaya mahkamah mengarahkan LHDN mematuhi perjanjian penyelesaian yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak.
Berdasarkan dokumen mahkamah, pertikaian itu berpunca daripada siasatan cukai yang dijalankan LHDN terhadap Abdul Azeez sejak pertengahan 2018 sehingga awal 2022.
Hasil siasatan berkenaan, kedua-dua pihak mencapai persetujuan penyelesaian mengikut Seksyen 96A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, dengan jumlah keseluruhan cukai dan penalti ditetapkan sebanyak RM4.8 juta.
Jumlah tersebut merangkumi cukai sebanyak RM4.17 juta serta penalti berjumlah RM626,086.90 bagi tempoh 10 tahun taksiran.
Mengikut terma perjanjian, bayaran perlu dibuat secara ansuran bulanan menggunakan 25 keping cek dan Abdul Azeez mendakwa telah menyelesaikan keseluruhan jumlah berkenaan.
Bagaimanapun, pertikaian timbul selepas LHDN menerusi surat bertarikh 7 Ogos lalu memaklumkan pembatalan perjanjian penyelesaian serta notis taksiran komposit tersebut.
Pembatalan itu dibuat susulan penemuan fakta dan pendapatan baharu yang menurut LHDN tidak diambil kira ketika persetujuan asal dicapai.
Agensi berkenaan turut memaklumkan bahawa pengiraan cukai baharu akan dikeluarkan, namun belum menyatakan jumlah liabiliti tambahan yang mungkin dikenakan terhadap Abdul Azeez.
Susulan perkembangan itu, LHDN mengeluarkan beberapa notis mengikut Seksyen 78 hingga 81 Akta Cukai Pendapatan 1967 serta peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Notis tersebut antara lain menghendaki Abdul Azeez memberikan maklumat berkaitan kedudukan modal serta penyata perbelanjaan peribadinya bagi membantu siasatan lanjut.
Ketika prosiding, peguam Nicholas Mark Pereira yang mewakili Abdul Azeez berhujah bahawa pembatalan perjanjian tersebut wajar disemak oleh mahkamah memandangkan taksiran komposit mempunyai kedudukan muktamad dan konklusif berdasarkan Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Menurutnya, anak guamnya telah melaksanakan segala tanggungjawab pembayaran seperti yang dipersetujui, namun keputusan pembatalan dibuat tanpa penjelasan terperinci mengenai penemuan baharu yang menjadi asas tindakan LHDN.
“Anak guam kami sudah menjelaskan keseluruhan RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun perjanjian itu dibatalkan tanpa penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang dikatakan ditemui oleh LHDN.
“Sehubungan itu, pihak pemohon turut memohon perintah penangguhan sementara bagi menghalang LHDN daripada meneruskan tindakan penyiasatan atau penguatkuasaan berkaitan perkara itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman,” katanya.
Seorang lagi peguam yang mewakili Abdul Azeez, Datuk Amer Hamzah Arshad pula menegaskan bahawa keadaan sedia ada perlu dikekalkan sehingga mahkamah membuat penentuan berhubung kuasa LHDN membatalkan perjanjian selepas taksiran komposit dipersetujui.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Ng Siew Wee yang mewakili KPHDN membantah permohonan berkenaan atas alasan tindakan semakan kehakiman tersebut dikemukakan terlalu awal.
Menurutnya, siasatan cukai terhadap Abdul Azeez masih berlangsung dan surat pembatalan yang dikeluarkan pada 7 Ogos lalu merupakan sebahagian daripada proses siasatan berkenaan.
Beliau berhujah bahawa setakat ini, tindakan LHDN belum menghasilkan sebarang taksiran atau tanggungan cukai baharu yang boleh dikuatkuasakan terhadap pemohon.
“Ia tidak menyebabkan liabiliti cukai atau taksiran baharu yang boleh dikuatkuasakan terhadap pemohon,” ujarnya.
Ng turut membangkitkan bantahan terhadap permohonan penangguhan sementara dengan menegaskan bahawa perintah sedemikian tidak boleh diberikan secara sebelah pihak.
Malah, beliau berhujah bahawa usaha menghalang LHDN daripada mendapatkan maklumat bagi tujuan siasatan akan menjejaskan pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab agensi itu di sisi undang-undang.
Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, Hakim S Indra Nehru menetapkan 11 November depan untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Abdul Azeez.
Sumber: Harian Metro (Muhamad Lokman Khairi)




