PADANG TERAP: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan sebarang kaitan dirinya dan kerajaan negeri dengan kes pecah amanah membabitkan kira-kira RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang terbengkalai.
Memuatkan artikel berkaitan…
Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai kes yang sedang disiasat pihak berkuasa itu, termasuk identiti individu yang ditahan serta wang yang didakwa hilang.
Beliau pada masa sama kesal apabila terdapat pihak yang mengaitkan dirinya dengan kes berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Saya pun tak tahu, saya nak jawab bagi pihak orang lain pun tak boleh. Kamu pergi cari syarikat itu. Orang itu pun saya tak kenal, siapa yang kena tangkap, saya tak tahu. Duit apa hilang pun saya tak tahu.
“Jadi macam mana tuduh Sanusi pula? Dia kata ‘Nusi balas RM40 juta pula dah’. Tak payahlah fitnah kalau tak tahu apa-apa,” katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Kampung Perik di Kuala Nerang, di sini hari ini.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan seorang pengarah syarikat wanita berusia 30-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah kira-kira RM40 juta berkaitan projek litar lumba itu.
Suspek ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bukit Aman di Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, kerja-kerja di tapak projek berkenaan masih berjalan dan kerajaan negeri sedang mempertimbang hala tuju projek itu, termasuk kemungkinan diteruskan kerajaan atau diambil alih pihak swasta.
“Saya naik helikopter hari itu untuk tengok, mereka masih buat kerja. Projek itu sama ada jadi projek swasta atau kerajaan, kita akan pertimbangkan.
“Kalau terlalu besar, di luar kemampuan kerajaan biarlah pihak swasta yang jalankan. Kalau dalam lingkungan yang kerajaan mampu belanja misalnya RM20 juta, kita beli saja projek itu,” katanya. – UTUSAN




