Op Pewa: Klang, Selayang, Puchong antara 'hotspot' pemandu warga asing

Op Pewa: Klang, Selayang, Puchong antara 'hotspot' pemandu warga asing

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

harisfadli@hmetro.com.my

FOTO/VIDEO FAIZ ANUAR

Klang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras bukan sahaja pemandu warga asing (Pewa), malah pemilik atau majikan yang membenarkan golongan itu menggunakan kenderaan.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kehadiran Pewa tanpa lesen sah di negeri itu dan antara kawasan ‘panas’ termasuk di Klang, Selayang, Ampang, Subang Jaya, dan Puchong.

“Bukan sahaja pemandu, pemilik semua kena tindakan. Sebab kes Pewa ini tiada kompaun diberikan, kita bawa terus ke mahkamah, selesai di mahkamah baru boleh keluarkan kenderaan yang disita. Jadi pemilik kena hadir ke mahkamah.

“Isu Pewa ini di semua daerah di Selangor ada tetapi kalau kita tengok, banyaknya seperti di Ampang, Selayang, dekat Meru Klang ini pun ada, Subang Jaya pun ada, Puchong pun ada.

“Jadi, JPJ Selangor memang akan terus mengadakan operasi ini secara berterusan, bukan bermusim. Saya tegaskan bahawa JPJ Selangor akan membuat operasi ini di setiap daerah,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Pewa di Meru, di sini, hari ini.

Ahmad Kamarunzaman berkata, operasi yang bermula seawal 6.30 pagi dan berakhir 10.00 pagi itu berjaya mengesan serta menyita 51 kenderaan Pewa membabitkan 48 motosikal, satu kereta dan dua lori (kenderaan perdagangan).

Katanya, secara keseluruhannya JPJ memeriksa sebanyak 131 pelbagai jenis kenderaan dan 578 notis dikeluarkan sepanjang operasi itu membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kesalahan paling banyak dikesan hari ini antaranya membabitkan isu teknikal kenderaan sebanyak 102 kes, tiada lesen memandu (95), serta tiada cukai jalan dan insurans (48).

“Antara warga asing yang ditahan membabitkan warga Bangladesh seramai 13 orang, Indonesia (7), India (8), Myanmar (11), Pakistan (10) dan lain-lain negara (2),” katanya.

Menurutnya, warga asing yang mempunyai dokumen lengkap dibenarkan untuk memiliki malah memandu kenderaan sekiranya mereka ada lesen memandu yang sah, namun ramai dalam kalangan mereka didapati melanggar peraturan itu.

Katanya, JPJ turut mengesan segelintir warga tempatan yang tidak bertanggungjawab menyewakan motosikal atau kenderaan kepada golongan Pewa tanpa lesen memandu sah.

“Kami memberi perhatian khusus kepada isu Pewa terutama yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan, kenderaan barang dan lain-lain.

“Kenderaan seperti itu mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi sekiranya dikendalikan oleh individu yang tidak mempunyai kelayakan, lesen, atau kompetensi yang ditetapkan.

“JPJ Selangor tidak mahu aspek keselamatan jalan raya dipandang ringan. Majikan, pemilik, dan pemandu kenderaan juga mempunyai tanggungjawab. Jangan hanya mengambil kira kos tenaga kerja tetapi mengabaikan aspek kelayakan dan keselamatan,” katanya.

Beliau menegaskan kepada pihak majikan khususnya supaya tidak membenarkan pekerja warga asing mahupun tempatan memandu kenderaan sekiranya tiada lesen sah.

Katanya, operasi akan dijalankan secara risikan, bersasar dan berterusan di lokasi yang sudah dikenal pasti di seluruh Selangor terutama di kawasan komersial, pusat logistik, kawasan industri dan di laluan-laluan utama.

Ahmad Kamarunzaman berkata, operasi dilaksanakan pada masa dan lokasi yang bersesuaian berdasarkan analisis data serta maklumat risikan bagi mengelakkan pendekatan penguatkuasaan yang hanya bersifat bermusim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top