Tolak cinta dipercayai motif pembunuhan Irene Sofiya

Tolak cinta dipercayai motif pembunuhan Irene Sofiya

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dendam akibat cinta ditolak dipercayai menjadi motif utama pembunuhan pelajar perempuan 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan meninggal dunia di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, 3 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dapatan itu diperoleh hasil siasatan lanjut dan risikan dijalankan pihak polis terhadap suspek yang juga rakan sekelas mangsa.

“Berdasarkan siasatan terkini, polis percaya motif pembunuhan adalah berpunca daripada perasaan dendam suspek terhadap mangsa kerana menolak cintanya. Mangsa dikatakan menjalin hubungan dengan kawan baik suspek sendiri.

“Bagaimanapun, motif ini akan terus diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan.

“Siasatan kes ini sudah hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Ab Rahaman, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah akibat pukulan di bahagian kepala.

“Turut ditemui kesan pukulan pada tangan dan tubuh mangsa. Pemeriksaan juga mendapati wujud kesan pertahanan (self-defense) pada tangan mangsa yang menandakan berlaku pergelutan di dalam dewan berkenaan, berpandukan keadaan pasu pecah serta meja dan kerusi yang terbalik.

“Suspek dipercayai memukul mangsa beberapa kali menggunakan batang besi sepanjang 96 sentimeter yang dibaluti tali leher bagi memudahkan pegangan. Setakat ini, tiada sebarang kesan cubaan rogol ditemui pada mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, sepanjang tempoh siasatan antara 4 Oktober hingga semalam, polis membuat beberapa siri rampasan barang kes yang disyaki mempunyai kaitan rapat dengan kejadian itu.

Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk sebuah telefon bimbit iPhone, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, satu set dekoder, satu batang besi, tracksuit hitam, serta baju sukan putih merah tertera tulisan ’27’ yang mempunyai kesan dipercayai darah.

“Turut dirampas ialah beg kanvas mengandungi alat tulis, beg galas berisi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan SPM tertera nama mangsa, sepasang cermin mata, kunci motosikal Yamaha, botol minuman, kalkulator serta tiga helai kertas catatan kehadiran pelajar,” katanya.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah sebelum ini, manakala isu berkaitan tahap kesihatan mental suspek akan diserahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri jika sudah dituduh kelak.

“Segala perincian lanjut, pergerakan serta kronologi kejadian belum dapat didedahkan buat masa ini dan akan dibentangkan secara terperinci sekiranya kes ini didakwa di mahkamah.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau kenyataan yang tidak benar sehingga boleh mengganggu proses siasatan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tambahan dialu-alukan untuk tampil membantu pihak polis,” tegasnya.

Terdahulu suspek lelaki berusia 16 tahun itu ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berakhir hari ini, namun disambung reman enam hari lagi sehingga Khamis depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top