Lelaki bersenjata serah diri selepas minta peluk ibu, isteri

Lelaki bersenjata serah diri selepas minta peluk ibu, isteri

NONTHABURI – Situasi tegang ketika penahanan seorang lelaki bersenjata di luar sebuah kondominium mewah di Nonthaburi, Thailand pada Khamis, berakhir apabila suspek menyerah diri selepas meminta untuk memeluk ibu dan isterinya, lapor Khaosod.

Pasukan penyiasat Polis Wilayah 1 tiba di kondominium mewah di Jalan Rattanathibet, Sai Ma, Mueang Nonthaburi, sekitar jam 5.10 petang bagi menahan lelaki berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Chalermphon itu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Balai Polis Bang Mae Nang.

Bagaimanapun, Chalermphon dilaporkan cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan dan mengacukan pistol ke kepalanya sendiri, menyebabkan polis mengepung kawasan itu sebelum memulakan rundingan bagi memujuknya menyerah diri.

Timbalan Komander Polis Wilayah Nonthaburi, Pol Kol Chokchai Khanajaroen; Ketua Unit Siasatan Polis Wilayah Nonthaburi, Pol Kol Supachai Srisak dan Ketua Balai Polis Bang Si Mueang, Pol Kol Phumisith Tangwitdecha turut berada di lokasi untuk membantu rundingan.

Rundingan awal gagal apabila Chalermphon enggan meletakkan senjatanya.

Polis mengubah pendekatan meminta isteri memujuk menerusi telefon. Foto: media sosial

Polis mengubah pendekatan meminta isteri memujuk menerusi telefon. Foto: media sosial

Polis kemudian mengubah pendekatan dengan meminta isteri dan anak lelakinya menghubungi serta memujuknya menerusi telefon sebelum ibunya tiba di lokasi untuk membantu menenangkan lelaki itu.

Selepas rundingan berlarutan, Chalermphon akhirnya meletakkan senjatanya kira-kira jam 6.30 petang dan membenarkan polis menahannya selepas permintaannya untuk memeluk ibu dan isterinya dipenuhi.

Dia turut mengalami patah kaki akibat terjun dari tingkat dua ketika cuba melarikan diri daripada ditahan.

Pemeriksaan terhadap beg sandangnya menemukan sepucuk lagi pistol berkaliber 9 milimeter (mm) bersama peluru dan merampas pistol berkaliber.45 yang digunakan untuk diacukan ke kepalanya.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Phra Nang Klao untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami.

Rekod polis menunjukkan Mahkamah Wilayah Nonthaburi mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu atas beberapa pertuduhan, termasuk cubaan membunuh, membawa senjata api di tempat awam, melepaskan tembakan di tempat awam serta memiliki senjata api dan peluru.

Kes berkenaan dikendalikan Balai Polis Bang Mae Nang di Nonthaburi.

Polis turut memaklumkan bahawa Chalermphon akan berdepan satu lagi pertuduhan kerana membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran.

 

Scroll to Top