H: Pengerusi MAHB bantah penjualan LTSAAS
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bh.com.my
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan, demikian menurut Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Justeru, katanya kerajaan perlu membatalkan hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan (carve-out) lapangan terbang berkenaan bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu.
“Ini adalah kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS.
“Justeru, tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dengan MAHB dan Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah & Labuan serta Sarawak (KESMA, KEPEMAB & KEPMAS) dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Zambry turut memberi penekanan bahawa pelan pembangunan semula LTSAAS yang dikemukakan oleh MAHB adalah sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan.
Katanya, ia diwujudkan bagi membolehkan LTSAAS dimajukan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara iaitu Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.
“Saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual,” katanya.
MAHB dalam satu kenyataan kepada BH sebelum ini mendedahkan sebarang penjualan atau pajakan LTSAAS kepada entiti swasta, jika dilaksanakan, akan merencatkan perancangan pembangunan lapangan terbang itu.
Pengendali dan pengurus lapangan terbang itu berkata, jika lapangan terbang yang dulunya di kenali Lapangan Terbang Subang itu tidak lagi dikendalikan olehnya, ia bukan hanya menjejaskan sektor penerbangan malah ia juga mengganggu kemajuan yang dicapai dalam industri aeroangkasa.
Katanya, langkah berkenaan juga dijangka memberi kesan negatif kepada status Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat pemisahan rantaian laluan trafik udara global dan rangkaian penerbangan lemah.
“Semua ini akan menurunkan status KLIA dan LTSAAS menjadi lapangan terbang saluran kepada hab lain di rantau ini seperti Singapura dan Bangkok, Thailand,” katanya.
Mengulas lanjut, MAHB berkata, kumpulan itu menetapkan strategi jangka panjang dan komprehensif untuk LTSAAS menerusi Pelan Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan untuk mengubah lapangan terbang itu menjadi hab pilihan untuk aeroangkasa dan perniagaan penerbangan di Asia Pasifik.
“Ini adalah rancangan berdasarkan permintaan yang dibuktikan melalui rekod prestasi kami sebagai hab pilihan seterusnya di Asia dan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) perniagaan penerbangan ke-4 di dunia,” katanya.
LTSAAS menarik peserta global utama termasuk Airbus Helicopters, Spirit Aerosystems dan Senior UPECA untuk mewujudkan kemudahan serta bengkel mereka berikutan lokasinya yang strategik dan akses kepada infrastruktur lapangan terbang serta meneroka permintaan di pasaran Asia Pasifik.
Bulan lalu, media melaporkan ahli perniagaan, Tan Sri Desmond Lim dikatakan merancang untuk mengambil alih LTSAAS membabitkan nilai RM3.7 bilion.
© New Straits Times Press (M) Bhd




