am@hmetro.com.my
Alor Setar: Semua institusi di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan beroperasi seperti biasa esok meskipun keadaan jerebu melanda beberapa kawasan di negara ini.
JPN Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di semua kawasan pemantauan di negeri ini yang direkodkan di bawah paras 100 setakat jam 2 petang hari ini.
Bagaimanapun, katanya operasi semua institusi pendidikan pada Ahad, 11 Oktober itu tertakluk kepada sebarang arahan terbaharu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkuasa berkaitan.
“JPN Kedah turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung kepentingan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu.
“Pihak pentadbir sekolah dan institusi pendidikan diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memantau bacaan IPU melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Menurut kenyataan itu, langkah sewajarnya juga perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara sepanjang keadaan jerebu.
Katanya, pihak sekolah turut diminta memberikan perhatian kepada murid dan warga pendidikan yang mengalami masalah kesihatan khususnya mereka yang sensitif terhadap keadaan kualiti udara.
“Tindakan sewajarnya hendaklah diambil sekiranya terdapat murid atau warga pendidikan yang menunjukkan gejala tidak sihat.
“JPN akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dari semasa ke semasa dan menyelaras tindakan bersama semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi pendidikan berdasarkan bacaan semasa dan arahan pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini sekolah di empat negeri serta Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup mulai semalam berikutan jerebu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor ditutup; manakala di Pahang semua sekolah di daerah Rompin ditutup.
Sementara itu, sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak serta Labuan beroperasi seperti biasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




