RM730 juta perlu lahirkan juara Olimpik, bukan sekadar podium – Pekan

RM730 juta perlu lahirkan juara Olimpik, bukan sekadar podium – Pekan

Kuala Lumpur: Di sebalik suntikan RM730 juta bagi pembangunan dan pengurusan sukan negara menerusi Belanjawan 2027, persoalan lebih besar ialah sejauh mana peruntukan itu mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi baharu atlet yang mampu mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Olimpik.

Penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tumpuan pembangunan sukan negara perlu diperluas daripada sekadar membiayai persediaan atlet elit ke arah memperkukuh ekosistem sukan akar umbi, khususnya di peringkat sekolah, bagi memastikan pembangunan bakat dilaksanakan secara lebih sistematik.

Beliau berkata, peruntukan RM730 juta itu tidak seharusnya dilihat sebagai peningkatan luar biasa dalam pembiayaan sukan kerana sebahagian besar daripadanya berkait dengan persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia, selain keperluan pembangunan sukan berprestasi tinggi dan penyelenggaraan fasiliti sukan negara.

“Kalau kita tengok jumlah angka, jangan nampak macam sampai, ‘Oh RM730 juta, banyak kali ini!’ Sebenarnya itu untuk Sukan SEA. Kalau tidak ada Sukan SEA, peruntukan kita akan kembali seperti biasa dan tidak banyak perubahan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, peruntukan RM460 juta bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi dan program Road to Gold (RTG) penting, bagi memastikan kesinambungan persiapan atlet ke kejohanan utama, termasuk misi memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, Pekan berkata, pembangunan sukan negara tidak boleh terus bergantung kepada kelompok atlet elit sedia ada semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang yang mampu melahirkan pelapis berkualiti secara berterusan.

Beliau berkata, pembangunan akar umbi perlu menjadi keutamaan, supaya pencarian bakat tidak hanya bergantung kepada kejayaan atlet semasa atau populariti sesuatu sukan, sebaliknya berasaskan hala tuju yang jelas serta potensi untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.

“Kalau kita nak membangunkan sukan, kita tidak boleh bergantung harapan kepada atlet semasa yang ada. Kita perlu pilih sukan yang hendak dibangunkan, senaraikan program dari peringkat akar umbi dan sediakan pelan jangka pendek serta jangka panjang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya sebahagian peruntukan pembangunan sukan disalurkan kepada penyediaan kemudahan asas di sekolah, termasuk trek olahraga, bagi membuka lebih banyak ruang kepada murid untuk menceburi sukan sejak usia muda.

Pekan berkata peruntukan bagi aktiviti sukan di sekolah perlu disertai program pembangunan, yang mempunyai sasaran jelas dan hala tuju tersusun, bukannya sekadar membiayai aktiviti tanpa kesinambungan.

“Kalau peruntukan itu diberikan kepada sekolah untuk mengadakan aktiviti sahaja, tanpa program spesifik, ia seolah-olah menjadi belanja hangus. Yang penting, aktiviti itu mesti selari dengan hala tuju kita untuk membangunkan sukan tertentu dari peringkat sekolah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan atlet berprestasi tinggi memerlukan pendekatan pembiayaan yang lebih strategik berbanding kebergantungan kepada belanjawan tahunan, yang boleh menyukarkan pelaksanaan program pembangunan bakat secara konsisten.

Pekan berkata, program sukan perlu dirangka berdasarkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang dengan peruntukan yang dirancang mengikut keperluan setiap fasa, sekali gus memastikan pembangunan atlet tidak terjejas akibat perubahan keutamaan dari tahun ke tahun.

Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM240 juta disediakan bagi persiapan untuk menganjurkan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM460 juta diberikan untuk pembangunan sukan negara.

Peruntukan tersebut termasuk memperkasakan program sukan berprestasi tinggi dan Road to Gold, program atlet para dan sukan orang pekak serta menyelenggara fasiliti sukan di seluruh negara.

Anwar berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta untuk penyediaan Geran Padanan Sukan bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top