SHAH ALAM – Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To menafikan komennya berkaitan perkataan ‘lighad’ dalam satu hantaran media sosial yang mencetuskan kontroversi ketika ini bertujuan menghina al-Quran.
Beliau sebaliknya menjelaskan, petikan al-Quran tersebut ditambah oleh ‘ceplos’ atau cybertrooper di media sosial untuk memberi gambaran dirinya membuat hantaran mengenai kitab suci umat Islam itu.
“Ketika menulis komen itu, saya langsung tidak tahu perkataan tersebut ada dalam al-Quran. Saya mengulas perkataan berdasarkan maksud yang diberikan oleh Sinar Harian dan menyindir ahli politik.
“Saya tidak meletakkan petikan ayat al-Quran bersama komen itu atau pun dalam posting saya. Petikan tersebut ditambah oleh ceplos, kemudian digabungkan dengan tangkap layar komen saya dan disiarkan di page mereka untuk memberi gambaran bahawa saya buat komen tentang ayat al-Quran.
“Bukan saya yang menyusun atau menyiarkan gabungan itu. Apabila gambar gabungan ini dikongsi tanpa konteks asal, orang boleh mendapat gambaran seolah-olah saya sedang memberi komen terhadap ayat al-Quran yang diletakkan di atasnya. Itu bukan konteks komen asal saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Eric yang juga dikenali sebagai Lim Sian See sebelum ini menyorot perkataan ‘lighad’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Susulan itu, pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pemimpin Melayu DAP tampil mengecam pemerhati politik tersebut.
Anwar menarik perhatian rakyat apabila menggunakan beberapa istilah yang jarang didengar termasuk ‘waad’ dan ‘lighad’ ketika membentangkan belanjawan berkenaan.
‘Waad’ dan ‘lighad’ ialah istilah bahasa Arab yang masing-masing bermaksud janji serta hari esok.
Mengulas lanjut, Eric berkata, beliau terbuka sekiranya ada pihak mengkritik hantaran berbaur sindirian dibuatnya, namun tidak menerima susunan gambar dibuat pihak lain untuk menuduhnya menghina al-Quran.
“Kepada yang sudah menyebarkan tuduhan tersebut, saya minta betulkan gambaran itu dan jelaskan konteks asal kepada pengikut masing-masing.
“Jangan ada sikap terus menuduh tanpa semak fakta dan konteks asal terlebih dahulu,” katanya.
Eric dalam masa sama turut menegaskan, pihak sepatutnya disiasat ialah invividu yang menambah petikan petikan bahasa Arab pada tangkap layar komen hantaran dibuatnya.
Ini kerana katanya, pihak tersebut yang bertanggungjawab bertanggungjawab menghasilkan gabungan berkenaan dengan memberi gambaran seolah-olah ia dibuat oleh beliau.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut memberikan respons di ruangan komen dengan mengatakan Eric tidak bersalah.
“Eric, anda tidak salah. Ia hanya salah faham akibat perangkap ceplos. Teruskan memburu,” tulisnya.



