RM730 juta bina generasi juara

RM730 juta bina generasi juara

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyambut baik peruntukan RM730 juta untuk sektor sukan menerusi Belanjawan 2027 yang disifatkan penting bagi membina generasi juara masa depan.

Beliau berkata, peruntukan itu yang merangkumi RM460 juta bagi pembangunan sukan negara, RM240 juta untuk persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 serta RM30 juta menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga ke tahap berprestasi tinggi.

“Bagi badminton, pembangunan bakat mesti bermula di peringkat akar umbi. Justeru, peningkatan 50 peratus peruntukan aktiviti sukan sekolah kepada RM27 juta yang bakal memanfaatkan lebih 4.6 juta murid amat dialu-alukan.

“Namun, pembangunan tidak boleh terhenti di sekolah. Kita mesti memastikan pemain berbakat mempunyai laluan yang jelas untuk terus berkembang melalui kelab, persatuan negeri dan program pembangunan kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Tengku Zafrul berkata, BAM turut menyambut baik peruntukan RM30 juta menerusi GPS yang boleh membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan menyertai kejohanan berkualiti.

“Bagi badminton, lebih banyak kejohanan berkualiti bermakna lebih banyak peluang untuk pemain tempatan menguji kemampuan, berdepan lawan yang lebih kuat dan mengumpul pengalaman sebelum bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, kejayaan badminton negara tidak boleh hanya bergantung kepada kelompok pemain terbaik ketika ini, sebaliknya pembangunan pelapis perlu diperkukuh bagi memastikan kesinambungan prestasi.

“Sebagai Presiden BAM, saya percaya kejayaan badminton negara tidak boleh hanya bergantung kepada beberapa pemain terbaik hari ini.

“Cabaran kita ialah memastikan apabila seorang juara bersara, sudah ada pemain pelapis yang bersedia mengambil tempatnya.

“Ini memerlukan pembangunan bakat yang konsisten, kejurulatihan berkualiti dan sokongan sains sukan yang menyeluruh,” katanya.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, BAM akan meneliti peluang di bawah Belanjawan 2027, khususnya GPS, untuk dimanfaatkan bersama persatuan negeri dan rakan korporat dalam memperkukuh penganjuran kejohanan serta memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain pelapis.

Katanya, persiapan skuad badminton negara menghadapi Sukan SEA 2027 juga kekal menjadi keutamaan.

“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan juara hari ini, tetapi membina sistem yang mampu melahirkan juara secara berterusan untuk generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top