Pelumba protes isu keselamatan, pelepasan ditangguh lima minit

Pelumba protes isu keselamatan, pelepasan ditangguh lima minit

Bergamo: Pelumba yang bersaing dalam perlumbaan berbasikal Il Lombardia melancarkan protes selama lima minit bagi menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan di laluan perlumbaan.

Aksi itu menyaksikan peloton kekal tidak bergerak walaupun kiraan detik pelepasan selesai, sekali gus mencetuskan kekeliruan sebelum pelumba Belgium, Remco Evenepoel, tampil menjelaskan tujuan protes berkenaan kepada orang ramai.

Evenepoel berkata, terlalu banyak insiden membabitkan kenderaan berlaku ketika perlumbaan sehingga mengancam keselamatan pelumba profesional.

“Malangnya, kita kehilangan seorang saudara dan rakan seperjuangan. Kami mahu menyampaikan mesej kepada dunia bahawa kita tidak boleh terus menerima hakikat pelumba cedera atau kehilangan nyawa ketika melakukan perkara yang paling kita gemari,” katanya.

Juara Olimpik dua kali itu merujuk kematian pelumba Britain, Finlay Tarling, adik kepada pelumba Netcompany Ineos, Josh Tarling, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kenderaan ketika saingan Tour of Portugal pada 14 Ogos lalu.

Kebimbangan itu semakin memuncak selepas dua pelumba, Thomas Gloag dan Marcel Camprubi, dilanggar motosikal polis yang bergerak dari arah bertentangan ketika perlumbaan Tre Valli Varesine, awal minggu ini.

Kesatuan pelumba profesional, CPA, dalam satu kenyataan menegaskan insiden membabitkan kenderaan di laluan perlumbaan tidak boleh dibiarkan berulang.

“Pelumba berlumba pada kelajuan tinggi dengan perlindungan yang minimum dan bergantung kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta penganjur untuk memastikan laluan perlumbaan selamat.

“Tanggungjawab itu tidak dilaksanakan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan berkenaan.

CPA turut menggesa UCI memastikan penganjur mengambil tanggungjawab dan bertindak memperbaiki tahap keselamatan dalam perlumbaan.

Selepas lima minit, peloton meneruskan perlumbaan seperti dijadualkan menuju Como.

CPA menegaskan protes itu bukan bertujuan mengganggu perlumbaan, sebaliknya menunjukkan kekuatan pelumba apabila bersatu menyuarakan tuntutan.

“Kami menyukai sukan ini dan menghormati penganjur perlumbaan. Kami mahu berlumba dengan bersungguh-sungguh serta memberikan tontonan terbaik kepada peminat.

“Namun, paling penting, kami mahu pulang ke rumah dengan selamat untuk bersama insan tersayang,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top