am@hmetro.com.my
Kulim: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat lebih lanjut berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Katanya, kertas siasatan itu mengandungi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di sini, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan AGC memulangkan kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Mohd Shuhaily kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, beberapa aspek siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain beberapa perkara relevan lain yang berbangkit daripada siasatan.
Sementara itu, mengulas dakwaan video tular mengenai lelaki Rohingya memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh, Saifuddin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan memberikan sebarang reaksi terhadap dakwaan yang belum disokong bukti kukuh.
“Saya tak mahu respons kepada khabar atau dakwaan. Kalau ada suatu hujah yang kuat, bukti yang terang, baru saya boleh respons.
“Tak ada dalam pengetahuan saya tentang masalah ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




