Malam Terlarang dan Khadam dominasi 12 pencalonan FFM35

Malam Terlarang dan Khadam dominasi 12 pencalonan FFM35

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Dua filem seram tempatan, Malam Terlarang dan Khadam mencuri tumpuan apabila mendominasi senarai pencalonan Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) selepas masing-masing meraih 12 pencalonan.

Malam Terlarang berada pada kedudukan selesa menerusi pencalonan utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Wanita Harapan.

Selain itu, filem terbabit turut bersaing dalam kategori Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Poster Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Satu lagi naskhah seram, Khadam arahan Shamyl Othman turut mengikut jejak langkah selepas tercalon dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Turut melengkapi 12 pencalonan buat Khadam ialah kategori Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik/Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik dan Poster Terbaik.

Sementara itu, filem aksi Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid turut memberikan saingan sengit apabila mengumpul 10 pencalonan secara keseluruhan.

Tumpuan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula menyaksikan saingan sengit lima penjuru antara Shaheizy Sam (Badak), Idan Aedan (Abah Saya Uncle Mike), Datuk Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Kategori Pelakon Wanita Terbaik pula menampilkan kebangkitan wajah baharu seperti Shasha Abedul (Malam Terlarang), Aida Amron (Badak), Fish Liew (Payane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Palong).

Bagi edisi FFM35 kali ini, pemenang Filem Terbaik bakal membawa pulang geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta, wang tunai RM5,000, trofi, serta tajaan sewaan dan penggunaan fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM20,000.

Anugerah berprestij yang mengandingkan Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson sebagai pengacara itu membabitkan 25 kategori dipertandingkan dan lima anugerah khas.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, FFM35 bakal memperkenalkan sistem pemarkahan baharu menerusi dua peringkat penilaian bagi memastikan keputusan lebih telus.

“Peringkat pertama dikendalikan panel juri profesional yang identitinya dirahsiakan, manakala peringkat kedua pula membabitkan pemenang-pemenang FFM terdahulu untuk 10 kategori,” katanya.

Malam kemuncak FFM35 bertemakan Spektrum Sinema bakal bersiaran secara langsung menerusi TV2 dari Istana Budaya pada 21 November depan, sekali gus menjadi edisi pertama dianjurkan di lokasi berkenaan selepas siap kerja naik taraf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top