Jakarta: Indonesia mengesahkan perbincangan dengan Malaysia sedang berjalan bagi memperincikan kerjasama terbaik bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Ketua Badan Komunikasi Indonesia Syahganda Nainggolan berkata, hubungan baik antara kedua-dua negara menjadi asas penting dalam usaha mencari penyelesaian bersama, khususnya ketika operasi pemadaman berdepan cabaran termasuk faktor semula jadi.
“Menteri Luar Malaysia bersama Menteri Luar Indonesia sedang memperincikan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian dan menangani kebakaran hutan dan tanah ini secara bersama,” katanya kepada media pada Sabtu.
Syahganda berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung kenyataan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesediaan Malaysia membantu Indonesia serta cadangan mengadakan mesyuarat menteri alam sekitar serantau bagi menyelaras usaha menangani jerebu rentas sempadan.
“Situasi jerebu sememangnya membimbangkan. Saya secara peribadi menghubungi Presiden Prabowo, dan beliau bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu,” kata Anwar.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan Indonesia pada Sabtu melaporkan 437 kawasan panas dikesan di seluruh negara setakat jam 9 malam Jumaat, meningkat daripada 387 sehari sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 270 kawasan panas dikesan di enam wilayah keutamaan di Sumatera dan Kalimantan, manakala 61 pesawat disediakan bagi operasi pemadaman, rondaan udara dan pembenihan awan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




