Watak Jijo hadir tanpa diduga

Watak Jijo hadir tanpa diduga

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SIRI 1

Ikonik. Begitu gambaran karakter Jijo Alfonso Pareira Abdullah dalam francais filem Rock yang kekal sebagai antara watak paling diingati dalam sejarah perfileman tanah air.

Namun, di sebalik kemegahan watak pemain bass kumpulan Rimba Bara itu, tersimpan satu rahsia yang mungkin tidak diketahui ramai.

Pemilik watak berkenaan yang juga pelakon dan pengarah, Khir Rahman, 53, mendedahkan bahawa watak legenda itu sebenarnya hadir ke tangannya secara tidak sengaja, sekali gus menjadi ‘bidan terjun’.

Mengingat kembali detik awal pembabitannya sekitar 2005, Khir memberitahu panggilan telefon daripada Allahyarham Mamat Khalid hadir secara tiba-tiba, hanya kira-kira dua minggu sebelum penggambaran filem Rock pertama bermula.

“Selalunya tawaran lakonan akan dimuktamadkan sekurang-kurangnya sebulan atau dua bulan awal. Tetapi, Abang Mamat telefon secara mengejut. Apabila saya tanya kenapa lewat sangat, dia berterus terang bahawa saya sebenarnya menggantikan pelakon lain,” katanya.

Sebagai anak seni yang berprinsip, Khir atau pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman mengakui tidak terus melompat kegirangan.

Sebaliknya, dia mengambil langkah tenang dengan menghubungi sendiri rakan pelakon yang digantikannya bagi mengelakkan timbul isu ‘sailang’ atau salah faham.

“Selepas pelakon itu kata, dia faham dan tiada masalah, baru saya buat ‘kerja rumah’. Saya minta Abang Mamat beri masa dua tiga hari untuk saya buat penyelidikan watak Jijo.

“Apabila saya jumpa arwah dan buat sedikit gaya Jijo depannya, dia terus kata ‘lock’. Di situ bermulanya ikatan profesional kami,” katanya.

Mengimbas pengalaman bekerja dengan pengarah hebat itu menerusi tiga filem awal Rock, Khir sifatkan setiap fasa mempunyai warnanya yang tersendiri.

Jika dalam Rock (2005) Khir perlu banyak menjaga sensitiviti Abang Mamat yang disifatkannya sangat tinggi pada waktu itu, fasa Rock Oo! (2013) pula memperlihatkan kematangan pengarah itu yang semakin selesa dan terbuka.

Kemuncak kepercayaan Mamat kepada anak pasangan legenda muzik tanah air, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan dan Allahyarham Datin Azizah Mohamad ini terbukti menerusi filem Rock Bro! (2016).

Dedah Khir, kerana faktor kesihatan dan kebuntuan idea yang melanda arwah pada waktu pagi penggambaran, dia pernah menggalas tanggungjawab besar untuk ‘duduk’ di kerusi pengarah secara tidak rasmi.

“Kadangkala waktu pagi pada masa ‘call time’, dia belum sampai ke set. Dia telefon saya dan kata, ‘Khir, abang buntu tiada idea nak buat babak ini. Kau buat, kau arahkan.’

“Jadi, ada beberapa babak penting dalam Rock Bro! itu sebenarnya saya yang tolong arahkan dengan bantuan Pengarah Fotografi (DOP), Tan Teck Zee. Dari situ saya tahu, arwah betul-betul percaya pada sudut pandang lakonan dan pengarahan saya,” katanya.

Meskipun hubungan mereka diibaratkan seperti abang dan adik, perjalanan itu tidak sentiasa manis. Khir mengakui pernah terkilan apabila watak utama filem Kala Malam Bulan Mengambang yang sepatutnya menjadi miliknya, terlepas ke tangan pelakon lain, Datuk Rosyam Nor tanpa sebarang makluman awal.

“Saya hanya tahu penggambaran dah nak mula apabila saya telefon kru lain. Waktu itu memang rasa ralat dan terkilan sebab kami rapat dan kenapa Abang Mamat tidak berterus terang sahaja?

“Namun, saya tidak pernah jadikan itu sebab untuk bermusuh. Bagi saya, jasa dan kebaikan arwah Abang Mamat menaikkan nama saya dalam industri jauh lebih besar berbanding rasa kecil hati itu,” ujarnya.

Lakonan mantap dalam filem Rock Oo! membolehkan Khir tercalon dalam kelompok teratas Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26.

Bapa dua cahaya mata ini mula aktif dalam dunia seni sejak 1996 dengan memulakan langkah menerusi teater di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Antara rakan seangkatannya adalah Zul Huzaimy, Adlin Aman Ramlie dan anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani, Melissa Saila.

ESOK: Teguran arwah abah jentik hati supaya tak sombong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top