RIYADH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 309 yang lain pada Sabtu sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.
Trump turut memberitahu pemberita beliau akan menghubungi pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman susulan serangan yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi di Yemen itu.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) berkata, empat daripada mangsa yang maut ialah rakyat Arab Saudi, manakala lapan lagi warga asing yang menetap di negara itu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Dua daripada mangsa warga asing ialah rakyat Bangladesh, manakala selebihnya merupakan warga AS Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Keganasan yang semakin memuncak itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik merebak lebih luas, dengan Trump turut memberi bayangan Washington akan menyertai tindakan ketenteraan terhadap kumpulan berkenaan.
Ketika ditanya pada Sabtu sama ada beliau akan mengubah pendirian berhubung menyertai serangan Arab Saudi terhadap kumpulan Houthi, Trump menjawab ‘mungkin’.
Media AS melaporkan permintaan Arab Saudi sebelum ini untuk mendapatkan bantuan ketenteraan Washington bagi menangani kumpulan Houthi telah ditolak.
Sementara itu, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Hans Grundberg berkata, serangan maut terhadap lapangan terbang awam di Arab Saudi merupakan peningkatan ketegangan serius oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen.
Tegasnya, serangan itu mengancam keselamatan serantau, meneruskan kitaran keganasan dan semakin menyukarkan usaha mencapai keamanan di Yemen.
Serangan berkenaan berlaku ketika gelombang serangan Houthi terhadap Arab Saudi meningkat ke tahap luar biasa sejak gencatan senjata dalam konflik berpanjangan antara kumpulan itu dengan kerajaan Yemen yang disokong Riyadh runtuh pada Julai lalu.
Terdahulu, pakatan itu berkata, pihaknya memintas peluru berpandu yang menyasarkan Arab Saudi dan memusnahkan pelantar pelancarannya.
Kumpulan Houthi mengaku melancarkan beberapa serangan yang menyasarkan lapangan terbang itu pada Khamis, mengorbankan tiga orang dan merosakkan sebuah pesawat. Bagaimanapun, kumpulan itu belum mengaku bertanggungjawab terhadap sebarang serangan terbaharu pada Sabtu.
Serangan pada Sabtu itu merupakan yang paling dahsyat di Arab Saudi sejak Mei 2015, apabila pengeboman bunuh diri oleh kumpulan militan Daesh mengorbankan 21 jemaah di sebuah masjid Syiah di wilayah Qatif, timur negara itu.
Serangan terbaharu itu berlaku menjelang musim konvensyen dan hiburan berprofil tinggi Arab Saudi yang bermula bulan ini.
Riyadh lazimnya menganjurkan pelbagai acara sepanjang tahun, termasuk persidangan pelaburan utama negara itu yang menghimpunkan pemimpin asing dan tokoh perniagaan terkemuka.




