Indonesia masih belum memberikan maklum balas terhadap tawaran Malaysia untuk menghantar bantuan bagi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyumbang kepada masalah jerebu di negara ini.
Sedia hantar aset untuk bantu padamkan kebakaran
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Malaysia bersedia menghantar sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi memadamkan kebakaran di kawasan terjejas.

Sudah bertemu dengan Naib Presiden Indonesia tempoh hari
Menurutnya, tawaran itu dikemukakan ketika lawatan rasmi beliau ke Jakarta sebelum ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
Walau bagaimanapun, surat yang dihantar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia juga masih belum menerima jawapan.
“Kita menawarkan dengan ikhlas, tetapi tidak ada respons untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih.
“Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon…ya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA menegaskan isu jerebu tidak seharusnya dilihat sebagai pertelingkahan antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya memerlukan kerjasama kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian.
“Kini kita terpaksa mengimport jerebu secara rela paksa dari Sumatera dan Kalimantan.
“Kita terpaksa menyedut apa yang dipanggil oleh mereka sebagai asap dan di sini sebagai jerebu…dan ini kita tidak ada pilihan,” katanya.
Mengulas kemungkinan tindakan perundangan berhubung isu berkenaan, Ahmad Zahid berkata perkara itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti sekiranya perlu.
Namun, beliau berpandangan usaha penyelarasan dan pencegahan menerusi kerjasama serantau lebih baik berbanding tindakan perundangan.
“Atas semangat ASEAN, koordinasi untuk mengelakkan itu lebih baik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Normawati Adnan)




