Jerebu: Johor paling terjejas, lapan stesen catat IPU tidak sihat

Jerebu: Johor paling terjejas, lapan stesen catat IPU tidak sihat

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Johor menjadi negeri paling terjejas akibat jerebu apabila lapan daripada 14 stesen pemantauan kualiti udara di negeri itu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

​Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 4 petang hari ini, Pasir Gudang merekodkan bacaan IPU tertinggi di Johor iaitu 177, diikuti Larkin (176), Kota Tinggi (165) dan Pengerang (159).

​Empat lagi kawasan di Johor yang turut melepasi paras Tidak Sihat adalah Segamat (158), Kluang (158), Tangkak (158) dan Batu Pahat (154).

​Selain Johor, beberapa stesen di Pantai Timur turut merekodkan kualiti udara yang merosot termasuk Kuala Terengganu (162), Kemaman (158), Balok Baru Kuantan (158) dan Paka (154). Secara keseluruhan, sebanyak 48 stesen mencatatkan tahap sederhana, manakala lima stesen berada pada tahap baik.

​Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena jerebu ini berkait rapat dengan kelembapan dan taburan hujan tempatan.

​Kawasan Pantai Timur seperti Kuala Terengganu dan Kemaman dilaporkan mengalami jerebu seawal waktu pagi berikutan keadaan cuaca kering dan ketiadaan hujan pada sebelah awal pagi.

Bagi daerah Johor Bahru, cuaca dijangka mengalami ribut petir di beberapa tempat pada sebelah pagi dan petang, sebelum keadaan jerebu dijangka kembali menebal pada waktu malam.

METMalaysia menjelaskan, pembentukan ribut petir pada sebelah petang di sesetengah kawasan berpotensi memberikan kelegaan sementara menerusi proses pembersihan udara secara semula jadi (wet deposition).

Bagaimanapun, sekiranya tiada hujan pada sebelah malam, zarah terampai berisiko terkumpul semula dan memburukkan keadaan jerebu.

​Orang ramai di kawasan terjejas khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka jenis N95 apabila berada di luar bangunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top