Mandalika, Indonesia: Marco Bezzecchi meraih kemenangan di Grand Prix Indonesia hari ini, manakala Jorge Martin menduduki tempat ketiga untuk merampas semula pendahulu kejuaraan dunia MotoGP daripada Marc Marquez.
Pelumba Itali yang menunggang jentera Aprilia itu memintas Raul Fernandez yang bermula di petak utama pada sepertiga terakhir perlumbaan sengit di Litar Antarabangsa Mandalika yang panas terik.
Fernandez dari Sepanyol menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti rakan senegaranya, Martin, yang turut menunggang jentera Aprilia.
Juara dunia tujuh kali dari Sepanyol, Marquez yang menunggang Ducati, pula menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Keputusan itu menyaksikan Martin kembali menerajui kejuaraan dunia dengan kelebihan dua mata ke atas Marquez, ketika berbaki lima lagi hujung minggu perlumbaan musim ini.
Bezzecchi masih berpeluang memburu gelaran apabila berada di tempat ketiga keseluruhan.
“Ia sesuatu yang menakjubkan dan saya sangat gembira,” kata Bezzecchi yang kini mengumpul 309 mata.
Martin mendahului dengan 355 mata, manakala Marquez rapat di belakang dengan 353 mata.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke podium tertinggi. Pertarungan dengan Raul cukup menarik dan saya rasa saya serta seluruh pasukan layak mendapat keputusan seperti ini. Mereka melalui saat sukar bersama saya,” kata Bezzecchi yang kali terakhir memenangi perlumbaan Grand Prix pada Mei lalu.
Martin yang akan beraksi di Australia dalam tempoh dua minggu lagi dengan kelebihan tipis, berkata dia sudah memberikan segala-galanya.
“Saya sudah melakukan yang terbaik. Saya kehilangan banyak kedudukan pada permulaan perlumbaan, tetapi cuba bertenang dan memintas pelumba lain secara berperingkat,” katanya.
“Kami masih dalam persaingan dan masih mendahului kejuaraan,” tambahnya.
Fernandez yang terpaksa menyesuaikan teknik membrek selepas mengalami patah dua jari ketika perlumbaan pecut pada Sabtu, memulakan perlumbaan dengan baik dari petak utama buat kali pertama dalam kariernya.
Dia dan Bezzecchi yang bermula bersebelahan di petak utama, sebelum itu terbabit dalam perlanggaran sehingga kedua-duanya terjatuh ketika perlumbaan pecut.
Perlumbaan pecut itu dimenangi Marquez, sekali gus membolehkannya merampas kedudukan pendahulu kejuaraan daripada Martin buat kali pertama.
Selepas satu pertiga daripada 27 pusingan perlumbaan utama, Fernandez masih mampu mengekang asakan Bezzecchi walaupun berlumba dalam keadaan cedera.
Martin, bekas juara dunia, berada di tempat ketiga manakala Marquez di kedudukan kelima, namun gagal memberikan ancaman serius kepada kelompok hadapan.
Fernandez yang sebelum ini meraih dua kemenangan, bertahan daripada tekanan hebat Bezzecchi sehingga pusingan ke-19 sebelum pelumba Itali itu melakukan pintasan untuk mengambil alih pendahulu.
Bezzecchi kemudian melebarkan jurang dan melintasi garisan penamat dengan kelebihan 4.260 saat, manakala Fernandez berjuang bermati-matian untuk mengekalkan kedudukan kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




