Garut, Indonesia: Hanya kerana berasa tidak dipedulikan ketika menghadiri perjumpaan bekas pelajar sekolah, seorang lelaki melepaskan tembakan menggunakan senapang angin sehingga mencederakan mata kiri rakannya sendiri di Garut, Jawa Barat, lapor Liputan6.
Ketua Polis Garut, AKBP Niko N. Adi Putra, berkata suspek bertindak demikian kerana berasa tidak dihargai ketika menghadiri perjumpaan berkenaan.
“Dia merasakan dirinya tidak dipedulikan dan akhirnya tersinggung sehingga cuba melepaskan tembakan,” katanya pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai MH di rumah saudaranya di Gang Babakan Pogor, Desa Mangkurakyat, Kecamatan Cilawu, Kabupaten Garut, pada 9 Oktober lalu selepas memburunya selama beberapa hari.
Niko berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, suspek mengakui memiliki senapang angin yang dibawanya sendiri ke perjumpaan berkenaan.
Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan sebelum menghalakannya ke arah mangsa, menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan pada mata kiri.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sumber senapang angin berkenaan serta menentukan sama ada terdapat mangsa lain dalam kejadian itu.
Suspek berdepan pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan penganiayaan yang menyebabkan kecederaan parah serta undang-undang darurat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa, Pazwa Pahaludin, 15, pelajar sekolah menengah dari Kecamatan Cilawu, Garut, cedera pada mata kiri selepas terkena tembakan senapang angin ketika menghadiri perjumpaan bekas pelajar sekolah di sebuah lokasi di Kecamatan Sukawening pada 26 September lalu.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




