bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kebenaran melaksanakan kerja pembinaan bagi projek berskala kecil oleh kontraktor G1 dan G2 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diperluaskan kepada semua sektor dan kelas.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berkata ia perlu diberikan serta merta seiring kebenaran oleh kerajaan kepada kontraktor G1 dan G2 yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kebenaran mesti diberi kepada semua kontraktor G1 dan G2 di semua peringkat dan kelas. Sepanjang PKP 3.0 ini ramai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di bawah Jabatan Kerja Raya dan persendirian terkesan, tidak boleh melaksanakan kerja-kerja pembinaan mereka.
“Untuk lebih adil, kebenaran ini mesti diberi kepada semua kontraktor bukan hanya terhad kepada kontraktor lantikan PBT saja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, aspek yang perlu diberi penekanan dan penguatkuasaan berterusan adalah pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan.
“Perlu penguatkuasaan SOP yang lebih tegas supaya tahap kepatuhan di tapak pembinaan tinggi, sekali gus mengurangkan risiko penularan COVID-19. Seeloknya, pekerja ini juga diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam yang memaklumkan membenarkan kontraktor G1 dan G2 yang dilantik PBT untuk melaksana kerja pembinaan bagi projek berskala kecil berkuat kuasa serta-merta.
KPKT menjelaskan, perkara itu diputuskan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 21 Jun lalu dan memaklumkan kontraktor tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Dalam pada itu, Azman meminta supaya kerajaan menyegerakan pengumuman bantuan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara bagi mengelak lebih ramai sektor perniagaan dan rakyat terkesan.
Katanya, sejak PKP 3.0 berlanjutan hampir sebulan, bukan hanya kontraktor terjejas, bahkan pelbagai sektor ekonomi termasuk peniaga dan penjaja kecil juga mengalami penurunan pendapatan mendadak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




