nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 23 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5 petang hari ini.
Berdasarkan data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan di selatan Semenanjung Malaysia membabitkan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menjadi wilayah yang paling terjejas teruk akibat fenomena jerebu berkenaan.
Johor mencatatkan kawasan paling banyak merekodkan bacaan IPU melebihi paras 150.
Pasir Gudang menjadi lokasi dengan kualiti udara terburuk di seluruh negara pada bacaan 174, manakala Kota Tinggi berada pada paras 170, Pengerang (166), Larkin (162), Batu Pahat (157), serta Tangkak (153).
Situasi sama turut melanda Negeri Sembilan apabila Seremban mencatatkan bacaan IPU 166, diikuti Nilai pada paras 163 dan Port Dickson 153.
Sementara itu, di Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan 161, manakala Bandaraya Melaka dan Alor Gajah masing-masing mencatatkan 155 dan 153.
Selain kawasan di bahagian selatan, trend kualiti udara tidak sihat ini turut dikesan di beberapa negeri lain termasuk Balok Baru Kuantan (161) dan Rompin (155) di Pahang, Serian (158), Sri Aman (156) serta Samarahan (144) di Sarawak, selain Wilayah Persekutuan Putrajaya (155), Kemaman di Terengganu (155), Johan Setia di Selangor (152) dan Tawau di Sabah (151).
Meneliti keadaan cuaca semasa pula, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan pergerakan udara yang tenang dan cuaca stabil pada sebelah pagi di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan dan Pahang telah menyumbang kepada pengumpulan zarah-zarah halus di atmosfera, sekali gus mencetuskan keadaan berjerebu yang nyata.
Bagaimanapun, pemulihan kualiti udara secara sementara dijangka berlaku berikutan ramalan hujan dan ribut petir pada sebelah petang serta malam di Selangor, Wilayah Persekutuan dan kawasan pedalaman di beberapa negeri.
Susulan kualiti udara yang kembali merosot, orang ramai khususnya di kawasan terjejas dinasihatkan supaya mengurangkan sebarang aktiviti fizikal di luar rumah, memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di luar, serta memastikan pengambilan air minuman yang mencukupi bagi menjaga tahap kesihatan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




