alagesh@nst.com.my
Kuantan: Operasi sebuah premis yang disyaki melakukan pencemaran di Sungai Lampan dan Sungai Gali, di sini, digantung serta-merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, pengusaha premis terbabit turut diarah mengambil langkah segera bagi mengekang limpahan air daripada kolam takungan yang disyaki menjadi punca pencemaran, terutamanya ketika hujan lebat.
“Saya sudah mengarahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk memastikan tiada sebarang aliran air keluar dari premis berkenaan ke sungai berhampiran.
“Pihak unit berkenaan juga sudah mengambil sampel air untuk dianalisis.
“Majlis Daerah Raub (MDR) pula sudah mengarahkan pengusaha terbabit menggantung operasi mereka buat sementara waktu,” katanya, di sini.
Fadzli berkata, rakaman dron menunjukkan air sungai yang bertukar hitam seperti dilaporkan beberapa hari lalu, kini sudah sampai ke bahagian hulu Sungai Dong dengan bangkai ikan kelihatan terapung di permukaan air.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perikanan perlu merangka pelan pemulihan bagi merawat semula sungai yang terjejas, sambil menambah proses memulihkannya akan mengambil masa.
“Apabila kejadian ini dilaporkan, kebimbangan utama saya adalah pencemaran itu boleh merebak ke sungai lain jika dibiarkan tanpa kawalan, memandangkan air dari Sungai Lampan mengalir ke Sungai Gali sebelum memasuki Sungai Dong yang lebih besar, sekali gus mengancam hidupan akuatik,” katanya.
Fadzli berkata, pelbagai spesies ikan mati terapung di Sungai Gali termasuk ikan tilan yang terkenal dengan daya tahan tinggi dalam keadaan air yang tidak bersih.
“Jika ikan tilan pun tidak boleh survive (bertahan), bagaimana pula dengan spesies ikan lain? Amat memilukan apabila melihat hidupan akuatik mati di sungai yang tercemar ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad berkata, sampel air dari sungai terbabit sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Sabtu lalu, Fadzli menerusi hantaran di Facebook mendedahkan Sungai Gali dan Sungai Lampan terjejas teruk akibat pencemaran, sambil mendesak tindakan segera diambil bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.
Sebelum ini, Ketua Kampung Sungai Pasu Mohd Zaidi Hashim mendedahkan Sungai Gali yang juga lokasi popular aktiviti memancing bertukar hitam dan mula mengeluarkan bau yang amat busuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




