Menteri Agama puji Jep Sepahtu, bayar zakat cecah RM1.935 juta dalam 10 tahun

Menteri Agama puji Jep Sepahtu, bayar zakat cecah RM1.935 juta dalam 10 tahun

Tindakan pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu mendedahkan rekod pembayaran zakat berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025 mendapat pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan keterbukaan Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin sebagai langkah berani dalam mempertahankan ketelusan dan integriti, selain menangkis fitnah yang timbul.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Sdra. Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Kita ambil dari sudut positif, dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya.

Menurut Zulkifli lagi, keterbukaan figura awam seperti Jep wajar dijadikan contoh kepada masyarakat mengenai kepentingan menunaikan kewajipan berzakat dengan penuh tanggungjawab.

“Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan.
“Ia mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi ummah dengan membela nasib golongan asnaf,” ujarnya.

Susulan daripada itu, beliau berharap perkongsian tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan zakat sebagai instrumen kebajikan dan pengukuhan ekonomi ummah, di samping menyemai budaya ketelusan serta integriti dalam menunaikan tanggungjawab agama.

Terdahulu, Jep memuat naik gambar beberapa resit pembayaran zakat yang dibuatnya setiap tahun menerusi Instagram.

Pelawak itu menjelaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk atau membanggakan jumlah yang dibayar, sebaliknya sebagai bukti susulan terhadap perkara yang diperkatakan.

Jep turut merakamkan penghargaan kepada Astro atas kerjasama menerusi program Sepahtu Reunion dan Sinar yang berlangsung dari 2015 hingga 2025.

Perkongsian berkenaan dibuat ketika nama Jep kembali menjadi perhatian susulan isu berkaitan persahabatan, bayaran serta dakwaan mengenai hak dan pendapatan.

Sumber: Facebook

Scroll to Top