mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat seorang lelaki menyambut hari lahirnya tahun ini sambil mengerjakan umrah tidak kesampaian apabila mengambil keputusan membatalkan perjalanan ke Mekah susulan keadaan keselamatan yang semakin meruncing.
Mohd Farid Ab Aziz, 36, berkata, dia sepatutnya berlepas pada 4 Disember ini dan segala persiapan untuk perjalanan berkenaan sudah dilakukan.
Bagaimanapun, dia mengambil keputusan membatalkan perjalanan itu atas inisiatif sendiri selepas melihat video lapangan terbang di Riyadh diserang.
“Ini adalah kali kedua saya merancang perjalanan ke sana (Mekah) seorang diri, manakala kunjungan pertama dilakukan pada hujung tahun lalu bersama ahli keluarga.
“Saya sangat ralat sebab merancang untuk menyambut hari lahir saya tahun ini di Madinah, sebab itu saya mengambil penerbangan pada 4 Disember,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurutnya, pembatalan berkenaan menyebabkan dia terpaksa membayar caj dua peratus daripada harga pakej iaitu sekitar RM200.
“Saya akan ke sana semula apabila keadaan sudah reda,” katanya.
Terdahulu beberapa syarikat penerbangan membatalkan jadual penerbangan ke Arab Saudi sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang mengorbankan kira-kira 12 nyawa, selain mencederakan lebih 300.
Serangan terhadap lapangan terbang Arab Saudi sepanjang minggu lalu menjejaskan perjalanan udara, memaksa sekolah di Riyadh beralih kepada pembelajaran dalam talian dan mendorong beberapa kerajaan asing mengeluarkan amaran keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh paling terjejas dengan lima serangan, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam dengan dua serangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




