Bertekad untuk tidak mudah 'memakan diri' dengan pujian

Bertekad untuk tidak mudah 'memakan diri' dengan pujian

puterialia@hmetro.com.my

Semakin mencipta nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi muda berbakat besar, Zaki Yamani kini secara rasmi melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya apabila menyertai syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Malaysia.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong menerusi sebuah Majlis Menandatangani Perjanjian (Signing Ceremony) yang berlangsung baru-baru ini membabitkan Zaki Yamani dan Sony Music Malaysia.

Menurut Kenny, Zaki disifatkan sebagai permata berharga kerana bukan sahaja penyanyi muda, malah memiliki sifat dedikasi tinggi yang sukar dicari ganti dalam industri muzik tempatan.

“Hari yang sangat istimewa buat kami kerana secara rasminya mengalu-alukan kehadiran Zaki Yamani dalam keluarga besar Sony Music Malaysia.

“Zaki bukan sekadar muda, tetapi sangat berdedikasi terhadap bakatnya, kebolehan menulis lagu serta nyanyiannya. Ini yang membuatkan saya amat kagum dengan Zaki.

“Bagi saya, Zaki adalah masa depan barisan artis di Malaysia. Kami berharap dapat bekerjasama rapat bersama Zaki bagi memastikan dia terus maju serta menempa nama bukan sahaja di Malaysia, tetapi ke peringkat Asia juga,” kata Kenny.

Sementara itu, Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani, 20, meluahkan rasa syukur dan teruja selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama label berkenaan.

Biarpun sempat bergerak secara solo selepas meninggalkan label terdahulu, faktor kepercayaan menjadi sebab utama dia memilih untuk menyertai di bawah syarikat rakaman berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sudah sah menandatangani kontrak bersama Sony dan terima kasih Sony kerana menerima saya.

“Sony berjaya memenangi hati saya apabila mereka tampil profesional dengan membentangkan perancangan terperinci dan lengkap dengan pelan yang disusun rapi untuk kerjaya,” kata Zaki.

Mengulas mengenai pujian melambung yang diberikan oleh pengurusan tertinggi itu, Zaki tetap merendah diri dan bertekad untuk tidak mudah ‘memakan diri’ dengan pujian berkenaan, sebaliknya terus memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

“Saya berterima kasih juga kepada Encik Kenny kerana menerima dan menyukai karya saya. Saya pernah tanya beliau kenapa suka saya, dia kata, ‘sebab saya boleh menyanyi’.

“Apa-apa pun saya tak nak pujian itu makan diri, jadi saya nak terus berusaha membetulkan apa yang kurang daripada saya dari segi nyanyian, pembawakan diri dan sebagainya.

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Sony Music. Saya melihat peluang ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya.

“Insya-Allah, saya akan terus belajar, membina dan mengembangkan kerjaya nyanyian saya serta memberikan yang terbaik buat peminat dan industri muzik,” kata Zaki.

Sementara itu, menerusi kerjasama ini, Zaki bakal mendapat peluang untuk terus mengembangkan bakat, meneroka ruang baharu dalam muzik serta memperluaskan jangkauan kerjayanya ke pasaran yang lebih luas, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Sebagai sebahagian daripada perancangan seterusnya, Zaki juga bakal bekerjasama dengan beberapa penerbit muzik terkenal dari Indonesia bagi menghasilkan karya baharu.

Kerjasama merentas sempadan ini bakal membuka ruang kepada Zaki untuk meneroka pendekatan muzik yang lebih luas, di samping membawa sentuhan serantau dalam projeknya yang akan datang.

Perkembangan ini juga selari dengan usaha Sony Music Malaysia untuk membina perjalanan kerjaya Zaki secara lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi di Malaysia, malah memperkenalkan muzik dan identitinya kepada pendengar di rantau ini.

Majlis istimewa berkenaan turut diserikan dengan kehadiran peminat sebagai tanda sokongan, sekali gus untuk sama-sama meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan kerjaya seninya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top