Shanghai: Pelumba trek Britain, Matthew Richardson, digugurkan daripada skuad negara itu bagi menghadapi Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, minggu ini, menurut British Cycling, semalam.
Richardson, pemenang pingat Olimpik yang bertukar kesetiaan daripada Australia kepada Britain selepas Sukan Olimpik Paris 2024, sebelum ini disenaraikan dalam skuad bagi kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober ini.
“British Cycling mengesahkan Matt Richardson digugurkan daripada skuad Pasukan Berbasikal Great Britain bagi menghadapi Kejohanan Dunia Berbasikal Trek Tissot UCI 2026 di Shanghai, China,” kata jurucakap badan induk itu dalam kenyataan kepada Reuters.
Bagaimanapun, British Cycling tidak memberikan alasan berhubung pengguguran Richardson daripada skuad berkenaan.
Akhbar The Times melaporkan Richardson digugurkan ketika siasatan dijalankan berhubung dakwaan “hantaran dan tingkah laku berunsur diskriminasi”.
Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas dan sudah menghubungi agensi pengurusan Richardson, Rocket Sports, bagi mendapatkan ulasan daripada pelumba berkenaan.
Richardson sebelum ini mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika acara keirin Siri Dunia di Jepun, sekali gus menyebabkannya terlepas peluang membuat penampilan sulung yang dinanti-nantikan bersama England pada Sukan Komanwel di Glasgow, Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




