'Asiah, bangun… bangun, Asiah'

'Asiah, bangun… bangun, Asiah'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Niat murni seorang lelaki menghulurkan bantuan dalam kemalangan jalan raya berakhir dengan detik menyayat hati yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

Saksi kejadian, Muhammad Auzaie, berkata beliau tidak menyangka perjalanannya pulang selepas melawat isteri dan anak di Hospital Tunku Azizah (HTA) bertukar menjadi satu pengalaman yang amat menyayat hati.

Katanya, ketika melalui kawasan berkenaan di Jalan Kuching, dia pada mulanya terserempak dengan satu insiden kemalangan di tepi jalan.

“Pada mulanya, terdetik di hati untuk melihat dari tepi sahaja, namun Allah gerakkan hati saya untuk membantu keluarga itu apabila saya melihat seorang ayah sedang memeluk erat anaknya sambil menangis dan meminta pertolongan untuk menghantar anaknya ke hospital.

“Hati saya terus tersentuh. Saya terbayangkan anaknya yang mungkin sebaya dengan anak saya sendiri. Tanpa berlengah, saya terus menawarkan diri untuk menghantar mereka ke hospital dengan hanya menunggang motosikal,” katanya dalam hantaran di platform media sosial Threads semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah, maut selepas kereta Perodua Bezza dinaiki bersama keluarganya dirempuh kereta yang dipandu melulu dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, kira-kira jam 3.44 petang Sabtu lalu.

Asiah yang duduk di tempat duduk penumpang belakang disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala dua lagi individu cedera.

Dalam kejadian itu, bapa Asiah, Ahmad Syahir Mohamad Nor, 30, yang bekerja sebagai bilal, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Penchala bersama isteri dan dua anaknya selepas membawa keluarga bersiar-siar dan makan di Keramat.

Bercerita lanjut, Muhammad Auzaie berkata, beliau tersentuh apabila seorang ayah tidak henti-henti memujuk dan memanggil nama anaknya sepanjang perjalanan.

“Asiah, bangun, bangun, Asiah… kita nak pergi hospital ni. Kita dah nak sampai hospital dah ni.” Berulang kali ayahnya menyebut nama Asiah, mengharapkan anak kecil itu memberikan tindak balas. Dalam keadaan Asiah yang sangat kritikal, pendarahan yang serius berlaku tanpa henti.

“Saya hanya mampu meneruskan perjalanan sambil berharap supaya kami sempat sampai ke hospital dan Asiah dapat diselamatkan.

“Namun, Allah lebih mengetahui segala-galanya. Takdir yang tertulis terlalu berat untuk diterima. Asiah akhirnya pergi meninggalkan dunia ini,” katanya.

Muhammad Auzaie berkata, hingga kini beliau masih teringat tangisan seorang ayah di atas motosikal yang tidak henti-henti memujuk, memanggil nama dan berharap anaknya bangun memberikan tindak balas.

“Darah Asiah juga melekat pada seluar saya. Satu pengalaman yang sukar untuk saya lupakan. Petang itu, saya pulang daripada melawat isteri dan anak sendiri.

“Namun, dalam perjalanan pulang, Allah izinkan saya menyaksikan sendiri perjuangan seorang ayah yang cuba menyelamatkan anaknya sebelum akhirnya terpaksa menerima kehilangan yang tidak pernah diharapkannya.

“Saya bukan sesiapa dalam keluarga itu. Saya cuma seorang insan yang kebetulan berada di situ dan diberi peluang oleh Allah untuk membantu setakat yang termampu.

“Tetapi melihat sendiri seorang ayah menangis sambil memeluk anaknya, memanggil nama anaknya berkali-kali, benar-benar membuatkan hati saya hancur. Saya terbayangkan anak saya sendiri. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana jika saya berada di tempat ayah Asiah,” katanya.

Muhammad Auzaie berkata, dia mendoakan supaya keluarga Allahyarham diberikan ketabahan yang tinggi sambil menyifatkan kenangan tangisan si ayah dan pengorbanan itu akan kekal terpahat dalam ingatannya selamanya.

Berita berkaitan

• Sempat peluk Asiah minggu lalu, tak sangka dia `pergi’ mengejut

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top