am@hmetro.com.my
Georgetown: Pembabitan orang Islam dalam pekerjaan pembersihan rumah ibadat bukan Islam hendaklah dielak, kata Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Ia termasuk dalam perkara dilarang oleh syarak apabila secara langsung membantu pelaksanaan ritual keagamaan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Mohd Sukki berkata, penentuan hukum pembabitan orang Islam membersih kuil, gereja atau rumah ibadat agama lain, perlu dibeza antara dua keadaan.
“Keadaan itu jika ia mempunyai hubungan langsung dengan penyediaan, pemeliharaan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus bagi pelaksanaan ritual agama lain seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus bagi upacara penyembahan.
“Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2 bermaksud ‘Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan’.
“Justeru, umat Islam dilarang terbabit dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kuil atau rumah ibadat agama lain apabila pekerjaan itu merupakan bantuan langsung kepada penyelenggaraan tempat ibadat mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Bagaimanapun, Mohd Sukki berkata, larangan itu sama sekali tidak menafikan tuntutan Islam bagi membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan kemanusiaan, kebajikan dan keselamatan.
“Ia termasuk kerja kebersihan umum yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan ritual agama seperti membersih longkang awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan, membantu mangsa banjir atau membersihkan laluan yang digunakan oleh masyarakat umum.
“Aktiviti sedemikian pada asasnya termasuk dalam ruang kerjasama kemasyarakatan yang diharuskan, selagi tidak membabitkan penyertaan dalam upacara keagamaan atau bantuan langsung kepada pelaksanaan ritual agama lain,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu termasuk orang Islam bergotong-royong mencuci rumah ibadat bukan Islam di Georgetown.
Difahamkan, menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, aktiviti gotong-royong berkenaan dijalankan di bawah penganjuran program tanggung jawab sosial korporat.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, memelihara akidah tidak bererti memusuhi penganut agama lain dan perlu ditegaskan bahawa Islam tidak mengajar umatnya menghina, memusuhi atau berlaku zalim terhadap penganut berkenaan.
Namun, menghormati agama lain tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mengambil bahagian dalam urusan keagamaan mereka.
“Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun, ayat 6 bermaksud ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’ yang mana ia menegaskan prinsip pemisahan akidah dan ibadat di samping mengiktiraf kewujudan masyarakat berbeza pegangan agama.
“Sehubungan itu, mana-mana pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan atau badan sukarela yang merancang program gotong-royong antara agama dinasihati supaya memberi perhatian kepada sensitiviti akidah umat Islam.
“Program perpaduan boleh dilaksana menerusi pelbagai aktiviti lain seperti membersih kawasan perumahan, taman awam, sekolah, rumah penduduk, kawasan rekreasi serta menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya lagi.
Beliau berkata, perpaduan masyarakat majmuk adalah suatu tuntutan yang penting namun, nilai yang sebenar hendaklah dibina atas asas saling menghormati pegangan agama masing-masing bukannya dengan mencampuraduk urusan ibadat dan akidah.
“Islam mengajar kita menghormati penganut agama lain, tetapi penghormatan itu tidak boleh sampai mengabur batas akidah dan syariat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




