Seorang maut dipercayai terjatuh dari roller coaster Goliath

Seorang maut dipercayai terjatuh dari roller coaster Goliath

Atlanta: Seorang maut manakala beberapa individu lain cedera dalam insiden membabitkan ‘roller coaster’ di sebuah taman tema Amerika Syarikat, semalam.

Menurut Jabatan Polis Daerah Cobb, insiden itu berlaku di Six Flags Over Georgia, kira-kira 25 kilometer (km) di barat laut Atlanta.

Polis berkata, pasukan penyiasat melakukan siasatan lanjut mengenal pasti punca insiden.

Pihak berkuasa tidak mengesahkan bagaimana individu tersebut meninggal dunia atau punca kecederaan yang dialami oleh mangsa lain.

Bagaimanapun beberapa saluran berita melaporkan seorang individu terjatuh dari ‘roller coaster’ Goliath di taman tema itu, sambil memetik kenyataan saksi dan pegawai tempatan yang tidak dinamakan.

Menurut portal teman tema terbabit, ‘roller coaster’ itu diperkenalkan pada 2006 dan mempunyai kelajuan maksimum 113 kilometer sejam (km/j) serta mencapai ketinggian 61 meter (m).

Jurucakap Six Flags berkata, pihaknya dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera sejurus insiden dan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan.

“Kami amat berdukacita dengan insiden menimpa pengunjung di taman tema kami hari ini,” katanya yang dilapor The Guardian.

Stesen televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman video penumpang dibawa keluar dari ‘roller coaster’ Goliath.

Dalam perkembangan berasingan, Six Flags Magic Mountain di selatan California pada penghujung bulan lalu mengumumkan penamatan operasi permainan ‘roller coaster X2’ susulan beberapa saman yang mendakwa permainan itu menyebabkan kecederaan otak serius.

Six Flags baru-baru ini menyelesaikan saman yang difailkan keluarga seorang lelaki berusia 22 tahun yang meninggal dunia selepas menaiki permainan itu pada 2022.

Tiga lagi saman yang mendakwa permainan ‘roller coaster X2’ menyebabkan kecederaan otak traumatik turut difailkan minggu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top