Lebih 3,000 calon guru simpanan terima pelantikan

Lebih 3,000 calon guru simpanan terima pelantikan

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 3,537 daripada 4,417 calon guru simpanan pengambilan 2025 ditawarkan pelantikan sebagai guru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, angka itu termasuk 114 calon anak Sarawak.

Katanya, pada September lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk melantik seramai 317 calon guru simpanan pelbagai opsyen daripada baki sedia ada.

“Dalam konteks kekosongan guru di Sarawak, terdapat sebanyak 224 kekosongan di sekolah menengah dan 276 di sekolah rendah.

“Kekosongan guru sekolah menengah di Sarawak membabitkan antaranya mata pelajaran Reka Bentuk Dan Teknologi (RBT) serta Sains.

“Bagi sekolah rendah di Sarawak, mata pelajaran Matematik, Muzik, guru bimbingan dan kaunseling mencatatkan angka yang lebih tinggi berbanding opsyen lain,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta menyatakan jumlah calon guru simpanan dalam kalangan anak Sarawak yang masih menunggu tawaran pelantikan dan jumlah kekosongan jawatan guru di Sarawak ketika ini.

Kah Woh berkata, bagi mengisi kekosongan guru termasuk di Sarawak, SPP sedang melaksanakan urusan temu duga bagi pengambil guru 2026 menerusi pasaran terbuka.

“Usaha itu bermula pada Mei lalu dan dijangka tamat bulan depan,” katanya.

Pada sesi itu, Kah Woh turut menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie berhubung sama ada KPM bercadang melanjutkan tempoh sah status calon guru simpanan yang belum menerima tawaran pelantikan.

Katanya, tempoh calon simpanan akan berakhir pada 14 Disember ini

“KPM ada memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk lanjutan ataupun lantikan.

“KPM juga turut meneliti semula calon-calon simpanan dengan opsyen yang mempunyai lebihan di peringkat sekolah dan meneliti semula ijazah asal mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top