Pendaftaran pelarian dalam talian UNHCR punca masalah – Saifuddin

Pendaftaran pelarian dalam talian UNHCR punca masalah – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Proses pendaftaran dalam talian untuk pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa menjadi punca di sebalik kesukaran Malaysia menguruskan pelarian sedia ada di dalam negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, UNHCR ketika ini membuka permohonan pendaftaran sebagai pelarian secara dalam talian.

“Sekarang ini, pelarian daripada negara kita kerana ada UNHCR ini, dia membuka permohonan untuk menjadi pelarian, pendaftaran secara dalam talian.

“Dia mungkin berada di Yemen, dia mungkin berada di Syria, dia mungkin berada di Afghanistan atau mana-mana negaralah yang ada push factor (faktor penarik),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai sama ada Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kerajaan boleh menjadi pull factor.

Beliau berkata, individu yang memohon status pelarian memasuki Malaysia terlebih dahulu menggunakan pas lawatan sosial sebelum UNHCR di Kuala Lumpur membuat keputusan terhadap permohonan mereka.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyuarakan kebimbangan mereka melalui kabinet dan Majlis Keselamatan Negara.

“Tidak kiralah pelarian apa pun, dia mohon. Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur beri keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong, pas sosial.

“Kemudian tiap-tiap minggu dia akan berkumpul depan pejabat UNHCR di Jalan Bellamy untuk tanya apa status permohonan. Itulah realitinya. Kita ini bercakap tentang hiliran, yang huluan itu adalah menjadi punca masalah,” katanya.

 

 

Scroll to Top