AHTV, LuMIC buka pelaburan strategik bantu perkukuh masa depan ekonomi negara

AHTV, LuMIC buka pelaburan strategik bantu perkukuh masa depan ekonomi negara

PENEKANAN terhadap pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dalam Belanjawan MADANI 2027 membuka peluang lebih besar kepada Perak untuk muncul sebagai antara pusat pertumbuhan industri strategik negara.

Perhatian kerajaan terhadap kedua-dua hab berkenaan memperlihatkan potensi negeri itu dalam memperkukuh sektor automotif berteknologi tinggi serta industri maritim dan logistik dalam usaha mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonominya.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, penekanan terhadap AHTV menunjukkan kepentingan sektor automotif berteknologi tinggi dalam agenda pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

Menurutnya, kedudukan strategik Perak serta kemudahan infrastruktur sedia ada, khususnya di Tanjung Malim, memberikan kelebihan kepada negeri itu untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri automotif.

“Begitu juga dengan penekanan pembangunan LuMIC di Lumut berpotensi meningkatkan kekuatan ekonomi maritim di koridor barat Semenanjung Malaysia, terutama dalam pengurusan pelabuhan, logistik perdagangan dan perkhidmatan rantaian bekalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pembangunan industri AHTV di Tanjung Malim menunjukkan kepentingan sektor automotif berteknologi tinggi dalam agenda pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

Pembangunan industri AHTV di Tanjung Malim menunjukkan kepentingan sektor automotif berteknologi tinggi dalam agenda pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

Menurut Dr Mohd Faisol, limpahan ekonomi daripada pembangunan kedua-dua hab berkenaan dapat merangsang pembangunan kemudahan infrastruktur dan meningkatkan peluang pekerjaan dalam pasaran negara khususnya di Perak.

Katanya, pembangunan kedua-dua hab industri itu berpotensi mempercepat transformasi ekonomi Perak dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut perancangan asal, dengan tatakelola yang baik serta bebas daripada kebocoran dan ketirisan dana.

“Kerjasama antara DRB-HICOM dengan syarikat dari China dalam pembangunan AHTV, serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan wakil syarikat dari Belgium bagi LuMIC, penting untuk memastikan pelaksanaan kedua-dua projek berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, Perak mempunyai peluang untuk berkembang daripada negeri yang memiliki asas perindustrian kepada pusat pertumbuhan industri strategik negara.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kejayaan pembangunan berkenaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan nilai pelaburan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat melalui sumbangan sebenar kepada ekonomi negeri.

“Transformasi ekonomi Perak bukan sekadar membabitkan pembinaan kilang baharu, tetapi perlu membentuk ekonomi yang mampu menghasilkan teknologi, menyediakan pekerjaan berkualiti dan menawarkan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Dalam konteks itu beliau berkata, pembangunan AHTV dan LuMIC berpotensi merangsang pertumbuhan perusahaan tempatan menerusi permintaan terhadap perkhidmatan sokongan, pembekalan komponen, penyelenggaraan, pengangkutan dan logistik.

“Ukuran kejayaan sebenar pembangunan kedua-dua hab industri ini ialah sejauh mana pelaburan dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti, mengembangkan industri tempatan dan memastikan rakyat Perak menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

 

Scroll to Top