Israel arah pesawat Ethiopian Airlines berpatah balik kerana ada juruterbang Indonesia

Israel arah pesawat Ethiopian Airlines berpatah balik kerana ada juruterbang Indonesia

TEL AVIV: Israel mengarahkan sebuah pesawat kargo Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan menuju Tel Aviv berpatah balik kerana salah seorang juruterbangnya warga Indonesia, lapor saluran televisyen Channel 12.

Insiden itu turut dilaporkan agensi berita Anadolu semalam.

Bagaimanapun, menurut Channel 12, pesawat berkenaan sudah berada di udara kira-kira sejam ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa dan masih berada di ruang udara Ethiopia ketika arahan itu dikeluarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saluran televisyen Channel 12 melaporkan bahawa kewarganegaraan juruterbang itu telah dimaklumkan kepada perisikan Israel dan pihak berkuasa lapangan terbang, sekali gus mendorong pegawai keselamatan serta Kementerian Pengangkutan menghalang pesawat itu daripada mendarat.

Menurut laporan itu, Ethiopian Airlines menyifatkan kejadian berkenaan sebagai satu kesilapan dan berkata, syarikat penerbangan itu tidak mengetahui bahawa juruterbang terbabit dilarang mengendalikan penerbangan ke Israel.

Ini kerana Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. 

Juruterbang itu kemudian digantikan, membolehkan pesawat berkenaan meneruskan penerbangan ke Israel dan mendarat di Lapangan Terbang Ben Gurion.

Kes itu mencetuskan semula persoalan mengenai kawalan terhadap kru penerbangan asing. 

Minggu lalu, portal berita N12 melaporkan bahawa lebih 1,200 kru penerbangan dari negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel mungkin telah memasuki negara itu. – AGENSI

 

Scroll to Top